Fadhil dari pengurus pakej umrah ke pengurus bola - TFC


Kuala Terengganu
: Kemelut bagi jawatan pengurus pasukan Terengganu FC (TFC) yang sebelum ini menjadi topik perdebatan kelab penyokong bola sepak skuad itu berakhir apabila Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Seberang Takir Mohd Fadhil Wahab sebagai pengurus pasukan itu bagi musim 2022.

Bagi jawatan pengurus pasukan skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II) pula milik pengurus TFC musim ini, Zulfadli Rozi yang juga merangkap penolong pengurus pasukan TFC.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, dengan pengumuman pelantikan jawatan itu, ianya selesai dan kini fokus kepada persediaan pasukan menjelang musim baharu.

"Kami warga TFC Sdn Bhd mengucapkan tahniah atas pelantikan Mohd Fadhil dan selamat datang ke kancah bola sepak negeri. Kami sedar beliau masih baharu dalam bidang ini, tetapi dengan ilmu pengetahuan dalam pengurusan lain selain idea baharu yang bakal diketengahkan, kami yakin beliau boleh menjadikan pasukan bola sepak Terengganu lebih meningkat lagi selepas ini.

"Selain itu kami melihat ianya sesuai dengan jawatan yang beliau sandang sekarang dan kami akan sentiasa membantu demi kecemerlangan bola sepak negeri dan juga negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini tiga nama menjadi perhatian untuk dilantik menjawat jawatan itu. Selain Mohd Fadhil dan Zulfadli, seorang lagi ahli perniagaan, Mohd Haslan Ismail turut dikaitkan untuk menduduki kerusi panas itu sekali gus membangkitkan perdebatan dalam kalangan peminat setia skuad Penyu.

Sementara itu, Mohd Fadhil yang secara rasmi menandatangani kontrak sebagai pengurus TFC mulai semalam melafazkan rasa syukur kerana diberi tanggungjawab memikul amanah itu.

"Tugasan ini adalah tanggungjawab berat apabila perlu menguruskan pasukan utama negeri seperti mana kita tahu bukan hanya mempunyai puluhan ribu pengikut, malah menghampiri jutaan peminat bola sepak dari dalam dan luar negeri ini.'

"Ianya bukan sesuatu perkara yang boleh dianggap mudah, namun apabila diberi amanah untuk memikul tugasan ini, saya akan menyahut cabaran ini dan akan terus belajar untuk menguruskan pasukan ini bukan sahaja untuk memastikan segala perancangan pasukan berjalan baik, juga untuk memastikan kualiti pasukan ini meningkat ke arah yang lebih baik bagi musim baharu ini," katanya. - metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.