Kes syarikat balak saman kerajaan Terengganu RM1 billion
ditangguh ke Januari
Ahad, 11 Oktober 2009 12:00 AM
KUALA TERENGGANU: Perbicaraan kes saman sebuah syarikat
pembalakan bumiputera terhadap kerajaan negeri Terengganu berjumlah RM1 bilion
berhubung penamatan konsesi balak secara tidak sah yang sepatutnya bermula di
Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguh ke 17 Jan depan.
Penangguhan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi
Ibrahim di dalam kamar.
Syarikat Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) diwakili peguam R.
Sukhdev Singh dan Mohamad Fariz Mohd Ali manakala kerajaan negeri Terengganu
diwakili Penasihat Undangundang Negeri, NoorBahri Baharuddin.
Dalam writ saman yang difailkan pada Disember 2007, syarikat
itu berkata pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui
tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukin
Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.
Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu
diperintah PAS, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan
di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium
pembalakan.
Syarikat itu mendakwa telah menjelaskan bayaran premium RM20
juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta pada 5 Julai tahun yang sama dan bersedia
menjelaskan bayaran premium selanjutnya melalui bank.
Namun, apabila bank pembiaya Riyapadu memohon pengesahan
bertulis kerajaan negeri pada masa itu, kerajaan negeri enggan memberi sebarang
kerjasama dan menamatkan konsesi balak berkenaan.
Setelah menamatkan konsesi tersebut, kerajaan PAS negeri
didakwa bertindak merampas kayukayu balak yang telah ditebang dan dilelong
kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.
Riyapadu mendakwa lelongan itu membolehkan kerajaan negeri
memperolehi hasil hampir RM10 juta, selain mendapat hampir RM20 juta lagi hasil
lelongan di kawasan konsesi lain yang infrastruktur jalan di kawasan terlibat
telah diusahakan oleh Riyapadu.
Berikutan pelanggaran perjanjian itu, Riyapadu mendakwa
dibebani hutang melebihi RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain
kerugian bayaran premium RM25 juta yang telah dijelaskan selain berdepan
tindakan undangundang oleh kontraktor dan pembeli balak terlibat.
Riyapadu mengemukakan saman itu bagi mendapatkan semula bayaran premium RM25 juta, kos kewangan dan kehilangan keuntungan dijangka hampir RM1 bilion. BERNAMA