Makin hebat kecamukan politik UMNO. Pembangkang tenang menunggu laba yang bakal sekali lagi mereka perolehi dalam PRU15 nanti.
Nampaknya semua benda yang dilakukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dilihat sinis dan salah dari kaca mata setengah pemimpin UMNO sendiri.
Hanya disebabkan tidak menunaikan satu(1) tuntutan untuk pengeluaran i-Citra RM10k One Off, semua bentuk bantuan kerajaan #KeluargaMalaysia yang lebih dari RM10k tenggelam dan dikesampingkan. Apatah lagi untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada PM yang sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat.
Saya hanya melihat situasi ini hanya kerana Ismail Sabri bukan Presiden UMNO. Semua perkara harus mengikut saranan dan panduan parti sehingga dalam bab i-Citra ini pun dikaitkan dengan satu panduan yang dikatakan melanggar ketetapan parti dan MKT. Apakah kita terlalu naif untuk membezakan antara ketetapan dengan panduan yang hanya satu cadangan dari Ketua Pemuda UMNO Ashraf Wajdi yang tidak dibincangkan pun dalam mesyuarat bulan Ogos yang disebut Ashraf. Ketua Pemuda harus membuktikan kepada ahli UMNO minit mesyuarat penuh berkaitan i-Citra ini untuk membuktikan ianya satu ketetapan yang dibincangkan dengan lumat dan tuntas untuk dijadikan sebagai panduan.
Saya mahu bertanya kepada pembaca dan ahli UMNO. Agak-gaknya jika Ismail Sabri sekarang ini merupakan Presiden UMNO dan menjawat jawatan Perdana Menteri. Apakah akan ada ketua sayap yang membuat desakan terbuka berkaitan keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pengeluaran i-Citra RM10k One Off ini kerana memikirkan kesan jangkamasa panjang pencarum? Anda ada jawapannya.
Dan apakah semua Perdana Menteri UMNO sebelum ini harus merujuk dan sentiasa perpandukan segala ketetapan dalam MKT atau UMNO untuk membuat dasar berkaitan kerajaan. Apakah PM sebelum ini perlu mendapatkan panduan dan ketetapan parti sebelum membuat segala keputusan untuk kerajaan?
Apakah kita lupa bahawa setiap polisi dan dasar yang dibuat kerajaan harus diputuskan oleh Kabinet Kerajaan dan kita tahu situasi dan kedudukan kabinet kerajaan hari ini kan???
Dalam situasi sekarang ini, apakah kuasa atau prerogatif seorang Perdana Menteri yang mentadbir kerajaan jika segala hal pentadbiran kerajaan dilihat dalam sudut kepentingan politik sesetengah pihak. Apakah tujuan mendada atau lebih mudah desakan terbuka Ashraf Wajdi dalam isu KWSP ini terhadap Perdana Menteri jika bukan agenda politik peribadi beliau dan pihak-pihak tertentu yang sengaja mencipta huru-hara dalam pentadbiran #KeluargaMalaysia.
Harus diingat sejarah Ashraf Wajdi. Semasa beliau menuntut di UIA, semua orang tahu bahawa Ashraf merupakan pemimpin pelajar yang membenci UMNO ketika itu. Ashraf dengan nyata dan jelas membawa satu usul agar MKT membuat keputusan membelakangkan ketetapan PAU iaitu agar MKT “Menggantung” ketetapan PAU “No DAP” dan “No Anwar” untuk menekan Ismail Sabri menubuhkan kerajaan campuran dimana DAP dan Anwar berada dalam kerajaan campuran tersebut.Cadangan Ashraf ini disokong oleh Sabhery Chik dan kita tahu siapa dibelakang agenda yang dibawa Ashraf ini.
Cadangan Ashraf itu ditentang dan ditolak oleh Ismail Sabri dan majoriti MKT. Semua MKT UMNO mengetahui cerita ini. Jika apa yang saya katakan ini tidak benar, saya cabar Ashraf Wajdi nafikan secara terbuka kepada seluruh ahli UMNO. Jika tidak maka kita tahu apa yang ASHRAF perjuangkan dalam UMNO. Dari kisah inilah Ashraf menyimpan dendam terhadap Ismail Sabri dan sentiasa mengambil pendekatan untuk berkonfrontasi dalam apa jua isu. Ashraf sanggup mencipta satu kemelut dalam UMNO hanya untuk kepentingan peribadi beliau dan berselindung disebalik istilah “Tuntutan Rakyat”.
Kita harap akan ada ahli MKT yang berani tampil menyatakan kebenaran dalam isu cadangan Ashraf memperjuangkan “Kerajaan Campuran” bersama DAP dan Anwar.
Pemuda harus tanya ketua anda. Adakah betul Ketua Pemuda UMNO mencadangkan “Kerajaan Campuran” bersama DAP dan Anwar. Tanya dan gesa penjelasan ketua anda.
Dari emel:
Naqib Hussain
Pasir Puteh