Kita tunggu selesai siasatan - PM


Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan campur tangan dalam kes berkenaan kerana ia bertentangan dengan tujuan penubuhan SPRM sebagai badan bebas yang tiada campur tangan oleh mana-mana pihak termasuk oleh perdana menteri.

Mengulas gesaan Pakatan Harapan (PH) supaya satu badan bebas menyiasat kes berkenaan selain menggesa Azam direhatkan, Perdana Menteri berkata, tindakan sewajarnya berhubung kes terbabit tetap dibuat mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh SPRM.

"Asalnya dulu SPRM adalah Badan Pencegah Rasuah (BPR) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), tapi ramai tidak setuju jadi minta ia dijadikan sebuah badan bebas supaya tiada campur tangan secara langsung daripada kerajaan terutama oleh perdana menteri. Sebab itu ditubuhkan SPRM.

"Sekarang mereka nak saya campur tangan pula. Jadi saya harap kita konsisten dengan apa yang dilakukan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Semalam, Majlis Presiden PH turut mendesak supaya Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat segera oleh satu badan bebas, selain menyarankan beliau dan Azam 'direhatkan' sementara siasatan berjalan.

Ismail Sabri berkata, gambaran yang diberikan adalah kerajaan seolah-olah berdiam diri dan ia adalah salah kerana tindakan sudah dilakukan mengikut tatacara SPRM selaku sebuah badan bebas.

"Saya sentiasa dimaklumkan dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM suruhanjaya bebas, ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

"SPRM sendiri yang mengendalikan kes ada kaitan dengan mereka melalui siasatan dalaman Lembaga Penasihat SPRM. Suruhanjaya Sekuriti (EC) juga akan memanggil Azam untuk memberi penjelasan, jadi perkara ini sedang dilakukan pihak EC dan kita tunggu sajalah keputusannya.

"Kalau ada siasatan lain seperti polis dan lain-lain, tunggu selesai siasatan (EC). Meletakkan Azam seolah-olah sudah bersalah tidak wajar bagi saya. Apabila keputusan dibuat, barulah ambil tindakan, tak boleh kacau badan lain siasat, kita kena percaya. Biar EC siasat berkaitan saham yang dikaitkan dengan Azam, lepas itu baru buat keputusan," katanya.

"Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh 'jump into conclusion' (membuat kesimpulan) seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan," katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun memberi jaminan tidak akan berkompromi jika ada isu berkaitan salah laku terhadap sesiapa sahaja, namun turut meminta semua pihak supaya sentiasa konsisten dan berlaku adil.

Mengenai gesaan supaya Azam direhatkan ketika siasatan dijalankan, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan juga perlu konsisten dengan apa yang pernah dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini.

"Itu juga kita mesti konsisten, sebab dulu Ketua Menteri Pulau Pinang dihadapkan ke mahkamah kerana isu rasuah, tidak kedengaran daripada PH atau sesiapa minta beliau cuti atau berhenti.

"Beliau terus kekal sebagai ketua menteri. Jadi saya kata jangan 'double standard'. Kalau dulu ada minta Ketua Menteri Pulau Pinang cuti atau berhenti, barulah boleh kita arahkan (arahan sama terhadap Azam), tapi tiada siapa bising pun (pada masa itu)," katanya. BH

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.