Perdana Menteri Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa puas hati dengan pengurusan pusat perpindahan sementara (PPS) yang beliau lawati semalam iaitu di Balai Raya Kampung Tandong, Segamat, Sekolah Agama Bandar, Tangkak, Sekolah Kebangsaan Gangsa, Durian Tunggal dan SMK Seri Pengkalan, Alor Gajah.
"Saya berpuas hati dengan pengoperasian di empat PPS, proses agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) juga berjalan dengan pantas. Setakat ini, lebih 70 peratus ketua isi rumah telah menerima bantuan RM1,000".
"Dijangka akhir minggu ini, agihan BWI kepada seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas banjir akan selesai. Mangsa yang tidak berpindah ke PPS, tetapi berpindah ke rumah saudara mara, kawan-kawan dan sebagainya, diminta mendaftar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau pegawai daerah, supaya bantuan segera dapat disalurkan", katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan kita yang telah menjalankan tugas dengan baik.
Tambahnya, saya mendoakan seluruh Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi Allah SWT daripada segala bencana.
Selain itu katanya lagi, Kerajaan akan beri bantuan tunai untuk baiki rumah mangsa yang terkesan akibat banjir. Sebanyak RM5000 untuk kerosakan tidak serius.
"Bagi kerosakan yang teruk, kerajaan akan melantik kontraktor untuk setiap rumah, kerajaan akan berbelanja sehingga RM15,000 untuk meringankan beban mangsa banjir. Bagi rumah yang hanyut atau rosak teruk dan tidak boleh dibaiki, kerajaan akan bina baru dengan kos RM56,000", ujurnya.