MUNGKIN
ahli dan pemimpin UMNO BN pernah dengar kejatuhan parti yang menguasai kerajaan
runtuh di luar negara sebagai pengajaran tapi leka dan mengambil sikap sambil
lewa. Parti GOLKAR di Indonesia terkenal hebat dan kuat, kalah teruk juga
akhirnya dan sehingga hari ini selepas lebih 15 tahun masih tidak mampu untuk
bangun seperti dahulu.
Bukan senang sesebuah parti politik bangkit
dengan kadar yang begitu cepat dari kejatuhan dan kehilangan sokongan rakyat.
Namun seolah ‘keajaiban’ berlaku kepada UMNO BN.
Tidak siapa pun menyangka UMNO BN yang selama
ini sejak merdeka berbakti kepada rakyat dan besar jasanya kepada negara boleh
ranap sekelip mata. Apa yang UMNO BN usahakan selama ini nampak begitu sia-sia.
Begitu juga apa yang terjadi di Jepun, parti
Demokratik Liberal (LDP) merudum kalah teruk yang amat memalukan. Mereka
mengambil masa 8 tahun lebih untuk kembali mendapat keyakinan rakyat.
Ini antara contoh dan bukti bahawa parti politik
walaupun berkhidmat begitu lama kepada rakyat juga boleh kalah teruk di dalam
pilihanraya dan untuk raih kembali kepercayaan rakyat di dalam masa yang
singkat adalah terlalu sukar dan seakan mustahil.
Pola pemikiran pengundi setiap masa berubah
mengikut peredaran zaman. Pengundi muda dan pengundi yang pertama kali memilih
sentiasa bertambah angkanya. Ini membuatkan corak memilih kerajaan juga
sentiasa berubah.
Apa yang terjadi kepada UMNO BN di dalam tempoh
tidak sampai sepenggal setelah tewas memalukan amat menakjubkan. Siapa sangka
Allah swt memberi peluang kedua kepada UMNO BN. Kena percaya dan yakin bahawa
inilah Qada dan Qadar. Rukun iman yang wajib ahli UMNO percayai.
Hanya di dalam tempoh 22 bulan di bawah kerajaan
Pakatan Harapan dan ditambah dengan 17 bulan di bawah kerajaan campuran PPBM,
UMNO BN, PAS dan parti mesra kerajaan pusat dari Sabah dan Sarawak pimpinan
Muhyiddin Yasin akhirnya Allah membuat keputusan jawatan nombor satu negara
kembali kepada pemimpin UMNO, Dato Seri Ismail Sabri.
Tiada seorang pun ahli UMNO menyangka begitu
drastik sekali perubahan kerajaan Malaysia selepas kejatuhan UMNO BN yang
memalukan di PRU ke 14. Tambah pula Ismaio Sabri bukanlah berjawatan Presiden
Parti.
Inilah peluang terbaik bagi UMNO dan BN untuk
merebut kembali hati rakyat Malaysia. Penerimaan rakyat yang kecewa dengan
prestasi pemimpin selain dari UMNO BN telah mereka jawab di beberapa keputusan
pilihanraya kecil dan terbaru adalah keputusan pilihanraya negeri Melaka serta
Sarawak.
Beberapa plihanraya kecil berlaku ketika Ismail
Sabri berjawatan Menteri Kanan Pertahanan dan keputusan pilihanraya negeri
Melaka dan Sarawak adalah ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Ahli dan
kepimpinan UMNO di semua peringkat perlu melihat keputusan ini dengan hati yang
lapang dan berjiwa besar. Bukan sekadar, ‘ohh UMNO menang lagi’.
Lihat dari sudut yang positif kerana sehingga saat ini UMNO masih bersama ‘kerajaan mandat ahli parlimen’.