SEMALAM Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah melepaskan Tan Sri Azam Baki Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pemilikan saham yang tular baru-baru ini dimana saham itu dibeli pada 2016 berharga RM330,000 bagi sejuta saham atau kira-kira 30 sen hingga 33 sen sesaham dan saiz dipegangnya sudah terkumpul sejak bertahun-tahun.
Dalam pada itu ramai politikus
mengambil peluang untuk menyerang Azam Baki dan juga SPRM dimana ianya berkait
dengan kredibiliti dan ketelusan suruhanjaya tersebut.
Terkini turut meluahkan
kemarahan di MedSos Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak
berpuas hati dengan keputusan SC melepaskan Azam Baki dan beliau turut
menyatakan kekesalan beliau berkait dengan isu pertuduhan beliau di mahkamah
yang memakan masa yang agak lama.
Syed Saddiq didakwa sebagai
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA melakukan pecah
amanah ke atas dana itu dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta
melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan
Tertinggi Bersatu.
Dia dituduh melakukan
kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan
Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan
yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika
sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga menghadapi
tuduhan menyalahgunakan harta, iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak
RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi
Bersatu Enterprise.
Kesalahan itu didakwa dilakukan
di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8
April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan
sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga didakwa atas dua
pertuduhan, iaitu melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan
memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 di dalam akaun Maybank
Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang
merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq didakwa melakukan
perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor
Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dikemukakan
mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang
boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama dan sabitan kesalahan
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang
daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
Hari ini semasa perbicaraan
beliau berlangsung, Syed Saddiq ditegur oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan menasihatkan
beliau agar tidak mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan dirinya berhubung
kes dihadapinya di dalam Facebook sebelum perbicaraan bermula.
Manakala Hakim Mahkamah
Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menasihatkan Syed Saddiq agar lebih berhati-hati
apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kes yang dihadapinya
di mahkamah.
Hakim Mohamed Zaini berkata,
bekas Menteri Belia dan Sukan itu perlu membezakan kedudukannya sebagai ahli
politik dan sebagai tertuduh ketika mengeluarkan kenyataan.
Katanya, beliau memahami
kesusahan Syed Saddiq tetapi beliau tidak boleh mencampuradukkan semua, sebagai
seorang ahli politik dan tertuduh. Saya pasti dari semasa ke semasa anda
(peguam) akan dapat menasihatinya tentang apa yang boleh (berhubung hantaran di
media sosialnya),” kata hakim pada prosiding sebutan kali pertama kes itu di
Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim itu menasihati Syed
Saddiq susulan tindakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin mengingatkan tertuduh supaya lebih
berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung empat pertuduhan pecah
amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan wang sumbangan yang
dihadapinya dalam media sosial.
Wan Shaharuddin menasihatkan
Syed Saddiq agar tidak mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan diri
berhubung kes dihadapinya dalam Facebook sebelum perbicaraan bermula.
“Ini bukan satu ‘gag order’
(perintah larangan) cuma nasihat daripada orang yang lebih matang daripada
tertuduh. Sebelum ini terdapat beberapa posting di Facebook beliau yang memberi
komen berhubung perjalanan kes dan telah mengemukakan pembelaannya.
“Saya cuma mengingatkan
tertuduh agar lebih berhati-hati kerana pembelaan yang beliau kemukakan dalam
Facebooknya boleh digunakan terhadapnya,” kata Wan Shaharuddin.
Pada prosiding hari ini,
mahkamah juga menetapkan 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20-22 Jun, 27 dan 28
Jun serta 4-8 Julai, 13-15 Julai dan 18-22 Julai untuk perbicaraan kes dan
tarikh tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Syed Saddiq mengekalkan
pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang
haram dan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen pilihan raya umum ke-14
(PRU14) selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan hakim Mohamed Zaini
berikutan keputusan mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes
berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 25 Nov tahun lepas.