BN AKAN DAPAT PENGERUSI BAHARU TIDAK LAMA LAGI?

Pengundi bukan sahaja dari kalangan ahli parti namun ianya menyeluruh dari pelbagai kategori pekerjaan serta peringkat umur.

Sekiranya inginkan kemenangan dalam mana-mana pilihanraya maka jentera parti perlu berkempen  untuk yakinkan pengundi setempat bahawa parti yang mereka wakili adalah yang terbaik untuk rakyat.

Rakyat atau pengundi pula akan menilai dari pelbagai sudut terutama pencapaian parti ketika diberi mandat sebelum ini dan manfaat yang mereka bakal perolehi sekiranya memilih parti tersebut bagi mewakili mereka kelak.

Antara ciri paling utama adalah kepimpinan ketika diberi amanah memimpin. Pengundi sudah boleh membuat keputusan memilih melalui gaya kepimpinan terutama apabila pemimpin utama negara yang mewakili parti tertentu. Jawatan perdana menteri menjadi titik fokus penting, adakah selama menjadi perdana menteri, rakyat dan negara terbela?

Bagi UMNO dan BN, inilah peluang terbaik setelah kalah yang memalukan pada pilihanraya umum ke 14. Jawatan perdana menteri ketika negara bakal berdepan dengan pilihanraya seterusnya, PRU ke 15 adalah dari parti UMNO. 

YAB Dato Seri Ismail Sabri dipilih melalui proses persetujuan ahli parlimen setelah Muhyiddin Yassin gagal mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli parlimen.

Walaupun baharu saja 3 bulan memimpin negara, rakyat sudah boleh menilai bagaimana dan apa yang beliau lakukan selama menjawat jawatan nombor satu negara.

Segala permasalahan rakyat terutama yang terkesan dengan pendemik covid19 diselesaikan dengan perancangan yang rapi agar di waktu yang sama ekonomi negara tidak terencat. Segala bentuk bantuan untuk seluruh peringkat masyarakat diberikan agar tiada yang tertinggal dari radar keperihatinan kerajaan.

Tragedi banjir yang melanda tanpa disangka juga dapat diuruskan dengan baik sehinggakan wujudnya bantuan yang tidak pernah dihulurkan oleh kepimpinan negara sebelum ini.

Ini semua sebagai pengukur kewibawaan sesebuah parti dan Ismail Sabri berjaya mendapat perhatian rakyat dalam masa yang singkat.

Betapa ruginya UMNO dan Barisan Nasional sekiranya faktor utama fokus pengundi ini tidak diambil peluang secara serius. 

Rakyat melihat kepimpinan negara dan bukannya kepimpinan parti.

Hakikat ini perlu diterima dengan hati yang terbuka dan jiwa yang begitu besar bagi ahli parti.

Zaman informasi di hujung jari dengan kepantasan capaian berita sepantas kelajuan cahaya, parti politik sudah tidak boleh lagi menipu rakyat. Sekali mungkin boleh namun kali kedua adalah sangat mustahil.

Inilah saatnya presiden UMNO Zahid Hamidi wajar meletakkan apa yang perlu diutamakan. Sebagai ahli politik yang sudah begitu matang dan berjiwa besar, menyerahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional kepada Perdana Menteri bukan sahaja satu pengorbanan tetapi satu strategi untuk teruskan momentum UMNO dan BN kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Peralihan kuasa tertinggi BN ini bakal mencerminkan bukan sahaja sikap berkorban demi parti tetapi sebuah perakuan nyata bahawa Zahid merupakan pemimpin yang berlapang dada dan meletakkan kepentingan parti melebihi peribadi beliau.

Jawatan lantikan tersebut memudahkan Perdana Menteri untuk merangka satu gerakerja bersepadu antara komponen bagi UMNO dan BN memenangi pilihanraya umum ke 15 nanti.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.