Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu Azan Ismail menyatakan pengalaman beliau bekerjasama dengan PAS membolehkannya membuat pandangan berikut dan pihaknya pernah menjadi mangsa kepada pengkhianatan mereka.
Beliau berkata, sikap pemimpin PAS yang gemar melabel
pihak lain dengan pelbagai gelaran bukan perkara baru, bahkan parti itu boleh
melakukan perkara lebih daripada itu.
"Melihat kepada percakaran pimpinan Umno selepas
parti mereka digelar sebagai 'itik patah kaki', saya mahu nasihatkan mereka
supaya tidak terkejut dengan sikap pemimpin PAS.
"Label-melabel dan memberi gelaran sudah menjadi
amalan PAS sejak sekian lama, ia perkara biasa dan yang luar biasa PAS juga
boleh mungkir janji di sebalik muafakat dan perjanjian," katanya kepada
Malaysiakini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mengumpamakan Umno seperti itik
patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.
Terdahulu Abdul Hadi memberi respon tersebut susulan
tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat
Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.
Mengulas lanjut Azan berkata, semasa Pilihan Raya Umum
Ke-13 lalu, PAS bertindak meletakkan calon mereka di kerusi yang sudah
dimuktamadkan untuk PKR.
Malah, katanya, ada pemimpin PAS juga menuduh salah
seorang calon PKR sebagai penjual pil kuda, selain mendakwaan ada kalangan
pimpinan mereka menganut ajaran komunis.
"Jadi sewajarnya Umno sedar dan berwaspada bahawa
ketika PAS menyeru muafakat dan perpaduan ummah, tetapi tidak mustahil untuk
PAS tetap melakukan kecurangan.
"Gelaran itik kaki patah itu biasa, tahap lebih
buruk belum sampai. PAS boleh buat lebih jauh daripada itu.
"Jangan sampai alami nasib yang sama dengan PKR
sebelum ini dalam bekerjasama dengan PAS," jelasnya.