Pengguguran bekas AJK PAS itu disahkan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan telah diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat pada Rabu lalu berikutan masalah disiplin, lapor Sinar Harian hari ini.
"Oleh kerana pelantikan beliau dalam Majlis Syura dibuat Jawatankuasa PAS Pusat, maka PAS Pusat membatalkan pelantikan itu.
"Oleh itu beliau bukan lagi Setiausaha Majlis Syura PAS berkuatkuasa semalam (Khamis)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Jelas Abdul Hadi, Khairuddin kini hanya ahli PAS tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.
Pada 12 Januari lalu, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu digugurkan sebagai AJK PAS selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan AJK PAS bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan PAS Ke-67 pada 7 November lalu.
Beliau bagaimanapun dilantik semula sebagai AJK PAS pada 23 November lalu. - Terengganu Coverage