Penyerang Liverpool, Sadio Mane sekali lagi terbukti ada kelas tersendiri di dalam dan luar padang ketika berlangsung Piala Negara-Negara Afrika yang dimenangi Senegal apabila dia membayar keseluruhan bil hospital seorang budak lelaki yang mengalami kecederaan boleh membawa maut.
Pemain berusia 29 tahun itu yang tampak hampir pengsan selepas bertembung dengan penjaga gol Cape Verde, Vozinha, menjaringkan gol ketika menang 2-0 sebelum dikeluarkan dan dihantar ke hospital.
Ketika dia dirawat kerana pelanggaran itu di sebuah hospital dekat Cameroon, dia membayar FCFA 400,000 (RM2,916) kepada sebuah keluarga yang tidak mampu membayar bil perubatan anak mereka yang mengalami kecederaan.
"Saya ceritakan kepada anda mengenai perbuatan baik Sadio Mané di Bafoussam terhadap sebuah keluarga," kata seorang tetamu di siaran televisyen Cameroon, Equinoxetv mengenai pemain Senegal itu.
"Keluarga mangsa tertekan kerana sebuah motosikal melanggar anak mereka dengan tulangnya patah dan kecederaan di seluruh badan; dia hampir mati dan ibu bapanya tidak mampu membayar untuk rawatan.
"Sadio, yang berada di hospital (dirawat selepas aksi menentang Cape Verde) menemui keluarga itu dan bertanya apa yang berlaku.
"Kami menjelaskan situasi itu kepadanya dan dia memberikan mereka 400,000 FCFA yang amat melegakan keluarga itu.
"Saya percaya hari ini ia adalah anugerah diberikan Tuhan."
Mane bukan hanya dikenali kerana bakatnya di padang tetapi juga usaha dilakukan di bandar kelahirannya Bambali dengan membantu membina sekolahpada 2019.
Bintang Liga Perdana itu juga sebelum ini mendermakan £41,000 (RM232,561) kepada FCFA, badan yang membantu melawan COVID-19 di Senegal. - AGENSI