UMNO, dulu kini dan selamanya telah menjadi sasaran parti lawan dan tidak mengira siapa yang menjadi nakhodanya dari Dato' Sir Onn bin Dato' Jaafar merupakan pengasas, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein, Tun Hussein bin Dato' Onn, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, YB Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan kini YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
UMNO melalui pelbagai onak dan duri sepanjang 76 tahun berada dalam politik tanah air dan kini dipandu oleh Zahid Hamidi dan timbalannya Dato' Seri Utama Mohamad Hassan yag mana menempuh era perubahan semasa.
Umum mengetahui selepas pilihanraya umum ke 14, nyawa UMNO dan BN bagaikan di hujung tanduk. Sesetengah pemerhati dan penganalis politik tempatan berpendapat riwayat hidup UMNO BN sudah berada di penghujungnya.
Ada yang menyatakan bahawa UMNO BN bakal menerima nasib yang sama seperti parti GOLKAR yang berkuasa puluhan tahun di Indonesia dan berakhir dengan penolakan rakyat.
Namun siapa sangka, peluang kedua datang tanpa diminta. Bagaikan rezeki bergolek dan dalam masa tiga tahun selepas kekalahan yang memalukan di pilihanraya umum ke 14, UMNO dan BN bagaikan mendapat semula talian hayat walaupun tidak sepenuhnya tetapi sudah cukup untuk menjadi titik permulaan kebangkitan di dalam lingkaran koridor kuasa politik negara.
UMNO BN melakar sejarah apabila Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 22 bulan berkuasa. Diikuti dengan Muhyiddin yang menggantikan beliau melalui proses pemilihan dan persetujuan ahli parlimen, juga meletak jawatan selepas tidak lagi mendapat kepercayaan dan sokongan ahli parlimen. Muhyiddin hanya bertahan selama 17 bulan sahaja.
Akhirnya melalui proses yang sama dan dengan perkenan Yang diPertuan Agong, Dato Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Ke 9. UMNO dan BN umpama mati hidup semula.
Kini UMNO BN terus dengan kebangkitannya tersendiri dengan siri 7 kemenangan PRK dan juga PRN Melaka beberapa bulan lalu dan kini akan menghadapi PRN Johor yang mana dijangka pada awal mac ini.
Peranan yang dimainkan setiap kepimpinan UMNO didalam kerajaan dan juga parti terus menguatkan UMNO dipersada politik tanah air dan medan ujian ini akan terus di PRN Johor kali ini.
Dengan kekuatan jentera diseluruh negara membuatkan UMNO semakin diterima baik oleh rakyat dan peranan yang dimainkan Naib Presiden 1 UMNO Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika ini menjadikan parti UMNO terus diterima baik rakyat.
UMNO harus menggunakan peluang ini dengan memberi peluang kepada Ismail Sabri sebagai POSTER BOY dalam PRN Johor dan juga sekaligus didalam PRU 15 nanti.
Beberapa penganalisis politik tanah air kini menyatakan bahawa Ismail Sabri dapat menarik lebih ramai rakyat yang tidak berparti menyokong UMNO BN jika beliau dijadi poster boy dalam PRN dan juga PRU 15 akan datang kerana ketokohan serta kredibiliti dan juga intergriti ditambahkan dengan undi 18 tahun yang bakal mengubah lanskap politik seluruhnya.
Ketika ini yang paling penting bagi UMNO dan BN adalah menggunakan sepenuhnya kelebihan yang ada. Di saat rakyat mula menerima UMNO dan BN, di kala mereka sudah mulai menerima kembali kerajaan yang di pimpin oleh UMNO maka inilah saatnya pemimpin UMNO di pelbagai peringkat wajib berlapang dada dan berjiwa besar.
Sebagai presiden parti, Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan telah menunjukkan tahap kematangan berpolitik. Melalui keputusan biro politik ahli Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini dan mendapat sokongan sebulat suara pengerusi-pengerusi perhubungan negeri telah menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal perdana menteri selepas pilihanraya umum ke 15 dan juga Ismail akan dijadikan ‘Poster Boy’ di sepanjang siri kempen tersebut.
Malah adalah lebih baik sekiranya menjadikan pilihanraya negeri Johor sebagai langkah permulaan meletakkan Ismail Sabri sebagai ‘Poster Boy’ di ketika mood rakyat semakin baik menerima kepimpinan beliau di peringkat pusat.
Selain dari itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Dato' Seri Dr. Ahmad Bin Said merangkap Ketua UMNO Bahagian Kemaman mencadangkan bahawa Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri Malaysia sebagai "POSTER BOY" bagi Barisan Nasional (BN) untuk Pilihanraya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau berkata demikian dalam satu program UMNO Kuala Terengganu baru-baru ini dan dihadapan kira-kira 300 orang jentera BN di Institut Latihan Memperkasakan UMMAH (ILMU), Janda Baik.
Mengikut video yang tular berdurasi 8 saat itu, Ahmad telah mengumumkan perkara tersebut dan disanggupi oleh Ismail Sabri sendiri serta di saksikan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Dato' Wan Hisham Wan Salleh serta ketua-ketua UMNO bahagian yang hadir.
Ahmad turut berkata, beliau akan membawa perkara tersebut kedalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO Pusat nanti.
Sehubungan dengan itu, Ismail Sabri mahu kesemua peringkat kepimpinan UMNO bersedia dengan 3 perkara untuk menghadapi pilihanraya nanti, kesiap siagaan jentera, kewangan dan juga peranan media sosial yang perlu diuruskan oleh UMNO.
Katanya, jika 3 perkara itu sudah siap sedia, beliau akan berbincang dengan Presiden UMNO terlebih dahulu untuk memastikan semua berjalan dengan baik sepertimana yang telah diumumkan sebelum mengadap Tuanku Agong untuk membubarkan parlimen nanti.