Rata-ratanya tidak selesa menggunakan bekalan air di kediaman masing-masing untuk urusan mandi dan makan atau minum hingga ada yang terpaksa berhabis membeli air mineral.
Seorang penduduk, Mohd. Safuwan Amir Mohd. Saidi, 30, kejadian terbaharu itu sekali gus mengembalikan memori buruk semasa krisis air pada 2021
“Tahun lalu, rumah saya di Kampung Bukit Berangan di samping kediaman keluarga di Kampung Pak Katak di Kuala Nerus tiada air selama sebulan.
“Masalah air berulang lagi pada 2022 hingga hingga terpaksa minum air mineral kerana rasa air yang payau daripada mesin penapis boleh menyebabkan saya mahu muntah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Gangguan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Losong akibat penerobosan air masin itu menyebabkan 24 kawasan di Kuala Terengganu terjejas.
Kawasan itu ialah Kampung Losong, Kubang Buyung, Paloh, Pulau Rusa, Kuala Bekah, Pulau Musang, Sungai Rengas, Kubang Tangga, Durian Burung, Bukit Kubang Jambu, Wakaf Che Kapur, Kubang Parit, Pulau Kambing, Cabang Tiga, Tok Ku, Seberang Baruh, Hiliran, Bukit Kecil, Pasir Panjang, Gong Kapas, Panji Alam, Gong Pak Maseh dan Jalan Budiman.
Sementara itu, seorang penduduk, Nursyasya Nadhirah Zabidi, 27, berkata, kualiti air di kediaman neneknya di Kampung Losong Atap Zink di sini masih kekal sama seperti sejak 1 Februari lalu.
“Cuma hari ini rasa payau itu berkurangan sedikit berbanding sebelumnya. Saya berharap pihak Satu dapat mencari penyelesaian terbaik bagi meringankan beban penduduk yang terkesan,” katanya. -UTUSAN ONLINE