LAWATAN KERJA Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar banyak membuka peluang-peluang pelaburan terutamanya dalam bidang tenusu dan penternakan yang mana menarik pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta).
Pelaburan terbaru yang dimeterai itu akan membuka 2000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia apabila ianya berjaya dilaksanakan kelak.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Perdana Menteri berkata, lawatan beliau ke Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu Baladna semalam, juga membolehkan memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani pada 2019 bagi Baladna menjadi rakan kongsi FGV Holdings Bhd (FGV) dan Felcra Bhd dalam projek usaha sama ladang tenusu berskala besar di Malaysia, dipersetujui untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun ini.
"Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan Felcra Bhd melibatkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Chuping, Perlis.
"Baladna juga bersetuju untuk menambah pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) lagi bagi pembangunan projek tenusu di Pahang.
"Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri tenusu tempatan," katanya.
Malaysia dan Qatar sama-sama mempunyai peluang dan perlu meningkatkan lagi prestasi perdagangan dan pelaburan dua hala dimasa hadapan.
Tambah Ismail Sabri lagi, beliau juga berterima kasih kerana Qatar kerana memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara, khususnya dalam sektor hartanah dan perkhidmatan.
"Sehingga kini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion (US$3.2 billion)," katanya pada sidang media bersama media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar, katanya.
Sehubungan dengan itu, kestabilan politik kini mampu menarik minat pelabur asing dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi negara. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dilihat sedang bertungkus lumus untuk memastikan negara mengecapi pertumbuhan ekonomi yang baik.
Kemenangan Barisan Nasional dalam Plihan Raya Negeri Johor dan Melaka baru-baru ini turut mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Dengan usaha berterusan PM maka hasrat kita mahu ekonomi negara pulih sepenuhmya semakin cerah.
Sementara itu dalam pertemuan Ismail Sabri dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sejurus majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan sasaran pelaburan yang ingin dicapai dalam masa dua tahun.
"Mengambil kira pembukaan sempadan kedua-dua negara dan fasa peralihan ke endemik, saya percaya Malaysia dan Qatar perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, khususnya industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas," katanya.
Ismail Sabri berkata dalam pertemuan dengan Sheikh Tamim, Malaysia turut mengetengahkan beberapa cadangan untuk penerokaan peluang-peluang pelaburan di Qatar kepada syarikat-syarikat Malaysia.
Antaranya, North Field Expansion Project yang meliputi tiga fasa.
"Saya juga mencadangkan Petronas diberi peluang untuk terbabit dalam projek ini. Alhamdulillah, cadangan saya disambut baik oleh Amir Qatar," katanya.
Dua lagi cadangan Perdana Menteri adalah Malaysia dijadikan hab penerbangan Qatar Airways untuk ke negara-negara ASEAN dan Qatar mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia sebagai alternatif kepada minyak bunga matahari.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen Qatar menjadi tuan rumah bagi Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) ke-14 pada tahun depan.
"WIEF berpotensi membantu komuniti perniagaan terutamanya di negara-negara Islam yang telah terkesan oleh pandemik COVID-19," katanya.