Kekuatan UMNO bukan terletak kepada kekuatan individu dan jauh sekali kerana hebatnya kelompok tertentu.
Kehebatan UMNO terletak kepada muafakat yang terjalin antara kepimpinan utama dengan pihak akar umbi secara keseluruhannya. Tanpa kerjasama erat yang saling kebergantungan antara kedua pihak, UMNO tidak akan mampu bertahan sehingga ke hari ini.
‘Born to be a leader’, bukan semua pemimpin dilahirkan sebagai seorang ketua yang bersifat semulajadi, ada pemimpin yang dibentuk dan kebiasaannya keberadaan individu yang perlu dibentuk ini tidak boleh bertahan lama. Mereka tiada pakej jati diri.
Ismail Sabri, adalah antara contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin yang dilahirkan. Menelusuri perjalanan sejarah politik beliau, Dato Seri Ismail Sabri menapak dari bawah. Malahan latarbelakang keluarganya juga adalah dari warga biasa-biasa, orang kampung, anak peneroka.
Ranjau laluan politiknya berjaya diharungi sehinggalah UMNO BN kalah teruk di pilihanraya umum ke 14. Kalah tidak bermakna beliau menyerah dengan mudah. Di kala ada seangkatan dengannya lari meninggalkan UMNO BN, Ismail Sabri kekal setia dan tidak pernah membelakangi parti yang banyak berjasa kepada beliau dan juga rakyat jelata.
Kepimpinan tertinggi UMNO BN membuat keputusan yang tepat apabila memilih beliau menjadi Ketua Pembangkang di parlimen. Bukan sekadar memilih bagai melepas batuk di tangga namun perlunya wakil dari UMNO BN yang bijak, berhemah dan tinggi integriti supaya boleh berhadapan dengan kerajaan pakatan harapan yang diketuai oleh Tun Mahathir ketika itu.
Ismail Sabri berjaya membuktikan bahawa pilihan anggota parlimen UMNO BN melantik beliau sebagai ketua pembangkang adalah satu keputusan yang tepat.
Dato Seri Ismail Sabri mula disegani oleh pihak lawan dan kawan. Berhujah di parlimen dengan fakta yang bernas dan jelas bagi isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat memperlihatkan betapa selama ini UMNO BN mempunyai seorang lagi pemimpin hebat dilahirkan.
Kebolehan Ismail Sabri inilah menyebabkan beliau diberi kepercayaan mewakili UMNO BN di dalam kerajaan campuran di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai menteri kanan pertahanan. Malah pihak Muhyiddin sendiri menghormati gaya kepimpinan serta pengalaman luas yang dimilikinya antara faktor utama perlantikan ke jawatan tersebut.
Akhinya apabila Muhyiddin Yassin terpaksa melepaskan jawatan, nama Ismail Sabri satu-satunya calon yang dipersembahkan kepada Yang di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.
Ismail Sabri mendapat restu dari seluruh kepimpinan tertinggi UMNO BN dan juga kepercayaan dari pemimpin parti lain. Ini adalah penghormatan tertinggi kepada wakil dari parti UMNO BN.
Sayangnya wujud pula kluster barua dan pencacai berbayar yang menunjukkan rasa yang tidak senang dengan pencapaian YAB Perdana Menteri dari UMNO BN ini. Saban hari melalak dan memfitnah melalui siaran ‘youtube’, lintas langsung dari akaun facebook dan juga aplikasi mesej ‘whatsApp’.
Kerja barua dan pencacai berbayar ini hanyalah memberi tumpuan kepada membangkitkan kemarahan ahli UMNO kepada Ismail Sabri kononnya tunduk kepada PPBM. Padahal apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Kalau lemahnya Ismail maka rakyat tidak akan kembali memberi kepercayaan kepada UMNO BN di beberapa pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri sehingga keputusan kemenangan di luar jangkaan. Rakyat selesa dan yakin dengan gaya kepimpinan Ismail Sabri adalah antara faktor utama imej UMNO BN kembali pulih.
Barua dan pencacai berbayar terpukul dengan fitnah sendiri apabila di perhimpunan agung UMNO 2021 minggu lepas, Ismail Sabri berdiri sebagai Perdana Menteri dengan penuh yakin di hadapan perwakilan dari seluruh negara memberi ucapan penggulungan yang jelas halatujunya dan meniup semangat baharu kepada semua hadiri yang hadir. Malah rakyat juga turut menonton keberadaan beliau di pentas utama dan menzahirkan kesyukuran dengan beberapa pengumuman penting khas untuk rakyat keseluruhannya.
Walaupun pada mulanya diberitakan wujudnya perancangan jahat pencacai dan barua upahan untuk memalukan YAB Perdana Menteri dengan mengatur pembahas dan jurucakap persidangan agar terbentuknya gelombang menghina Ismail Sabri namun aturan Allah amat luarbiasa, barua dan pencacai upahan gagal dalam rancangan kerja jahat mereka.
Sejarah tercipta, ucapan penggulungan Ismail Sabri pada hari itu adalah yang terbaik dan membawa mesej bermakna betapa beliau adalah ahli parti yang setia sehinggakan presiden UMNO Zahid Hamidi memberi jaminan akan mendokong penuh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Ahli UMNO perlu bangkit dengan segera menolak politik songsang yang cuba dibawa oleh barua dan pencacai politik yang hidup mereka bertuhankan wang semata-mata.