#PRNJOHOR : RAMALAN PAS DAPAT 1 KERUSI, PN BUNGKUS DI JOHOR KALI INI


 RAMALAN KEPUTUSAN PRN JOHOR


Walaupun hari pengundian PRN Johor akan diadakan pada 12hb Mac 2022 namun secara amnya telah nampak trend parti mana yang akan memenangi pilihanraya ini. Hari ini Khamis 10hb Mac hanya tinggal 2 hari masa berkempen untuk parti-parti dan calon-calon untuk meraih undi.


Seperti analisa saya sejak PRK Cameron Highland, Tangjung Piai dan PRN Melaka kesemuanya berasaskan kepada permainan angka. Ini melihat kepada sejarah pilihanraya yang terdahulu serta demografi taburan penduduk yakni peratusan komposisi kaum serta isu-isu semasa yang dimainkan semasa berkempen. 


Selain itu ia melihat kepada geografi dan taburan kependudukan yang berasaskan ekonomi setempat. Contohnya taburan rancangan Felda yang luas tetapi densiti kependudukan yang rendah berbanding kawasan bandar yang padat dengan industri dan perdagangan.


Namun yang terpenting ialah sejauh mana parti-parti yang bertanding dinilai dari segi sejarah dan penerimaan pengundi. Begitu juga kriteria calon-calon dari segi umur, pengalaman, ketrampilan serta melihat kepada saingan antara calon-calon.


Disebabkan saya juga seorang pengarang matematik, maka tidak lari dari menggunakan kaedah penyisihan @ elimination method bagi mengumpulkan data serta faktor wajaran @ weightage bagi mendapatkan suatu angka yang mungkin punyai kebarangkalian tinggi untuk kemenangan seseorang calon.


Dalam analisa ini menggunakan data SPR dari PRU14 sahaja sebagai andaian tanpa mengambil kira pertambahan pengundi baru @ undi18 yang tidak pasti kecenderungan mereka.  


Sisihan pertama yang di lakukan ialah dengan menyisih parti-parti atau calon-calon dari parti-parti tertentu agar perbandingan dapat dikecilkan sama ada bagi 2 atau 3 calon sahaja. Dengan cara ini kita dapat menumpukan saingan yang lebih seimbang.


Dalam analisa ini tidak langsung memberi pertimbangan kepada parti-parti seperti PUTRA, PBM, PSM dan WARISAN yang diramalkan bukan sahaja tidak berpeluang untuk menang satu kerusipun malah kemungkinan besar akan hilang wang pertaruhan. Dirasakan juga parti-parti ini tidak banyak mempengaruhi keputusan undi oleh calon-calon utama.


Penyisihan peringkat kedua ialah untuk parti-parti seperti MUDA, PEJUANG, GERAKAN dan PAS. Ini kerana undi-undi dari parti-parti ini mungkin mempengaruhi undi kemenangan seseorang calon namun kemampuan untuk menang dijangka amat tipis.


Pada peringkat awalnya dijangka MUDA akan bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai oleh DAP dan Amanah dengan harapan jentera Pakatan Harapan boleh membantu dalam segala segi.


Namun MUDA kemudiannya bertegas mahu menggunakan logo dan manifesto sendiri walaupun hanya bertanding di 7 kerusi di mana 6 kerusi dihadiahkan oleh DAP dan Amanah dari kuota mereka  yang kebanyakkannya adalah dari kerusi-kerusi yang dahulunya diperuntukkan kepada Bersatu dalam PRU14. 


MUDA tidak mencapai persetujuan dengan PKR dalam pembahagian kerusi di mana MUDA mahukan kerusi premium milik PKR untuk ditandinginya. Akhirnya MUDA melanggar persefahaman antara Pakatan Harapan – MUDA di mana MUDA turut bertanding di kerusi Larkin di mana PKR terlebih dahulu telahpun meletakkan calonnya.


Parti PEJUANG walaupun diasaskan oleh Tun Mahathir dan anaknya Mukhriz sebagai tulang belakang dan roh parti PEJUANG namun dengan wang yang melimpah boleh menaja tangkap muat 42 calon-calon untuk bertanding dilihat cuma gah pada angka.


Selain Dr. Shahruddin Md Salleh, ahli parlimen Sri Gading yang bertanding di Machap, lain-lain calon PEJUANG dilihat tidak mampu untuk membawa saingan. Di Machap beliau dijangka mendapat tentangan sengit dari Onn Hafiz Ghazi. 


Memang dijangka PEJUANG adalah pemenang pilihanraya ini dari segi jumlah calon untuk bertanding dari satu parti iaitu di 42 kerusi namun kemenangan untuk dipilih hanyalah 50-50 untuk satu kerusi Machap.


Seperti di Melaka, GERAKAN tidak punyai penyokong yang kuat dan struktur yang lebih tersusun berbanding MCA. Oleh itu dijangka tiada satupun kerusi yang akan dimenangi oleh calon-calon dari GERAKAN yang menjadi anggota Perikatan Nasional.


GERAKAN terpaksa berebut undi antara DAP dan MCA hampir di kesemua 8 kerusi yang ditandinginya. Tambahan masyarkat Cina tidak lagi melihat GERAKAN sebagai wadah perjuangan tambahan pula GERAKAN berada bersama PAS dalam Perikatan Nasional.


Bagaimana pula dengan PAS?


Dalam PRU14 PAS bertanding di 41 kerusi tetapi kalah di 40 kerusi dengan kebanyakkannya hilang wang pertaruhan. Hanya di Maharani PAS mendapat undi paling tinggi iaitu 14% undi. PAS terpaksa “dimenangkan” satu kerusi di Bukit Pasir oleh PH kerana calon Bersatu terbatal kelayakannya untuk bertanding. Maka semua undi yang sepatutnya diberikan kepada Bersatu telah diberikan kepada PAS.


Mantan ADUN PAS Bukit Pasir tidak tercalon untuk mempertahankan kerusinya dalam PRN Johor lalu beliau bertindak bertanding sebagai calon bebas. Dalam hal ini wa’la tidak terpakai dalam PAS dan inilah satu-satunya kes mantan ADUN yang bertindak melawan partinya sendiri dalam PRN ini. Sepatutnya inilah satu-satunya kerusi selamat bagi PAS namun dijangka kerusi ini akan dimenangi oleh UMNO.


Dalam satu analisa saya sebelum ini, walaupun PAS telah berada dalam satu kem dengan Bersatu tetapi dijangka PAS tidak mampu untuk memenangi satu pun daripada 15 kerusi yang ditandinginya. Tambahan pula di Johor PAS memang tidak mendapat tempat berbanding UMNO.


Melihatkan 8 kerusi GERAKAN tidak akan dimenangi oleh parti itu dan 15 kerusi yang ditandingi PAS dijangka tidak membuahkan hasil, jadi dengan baki 33 kerusi yang ditandingi Bersatu adakah ia boleh menang kesemuanya?


Sekalipun separuh daripada kerusi itu bakal dimenangi oleh Bersatu, ia bermakna Perikatan Nasional tidak mampu untuk membentuk kerajaan Johor yang baru. 


Setelah dilakukan sisihan parti-parti, kita akan dapati yang benar-benar bertanding di PRN Johor hanyalah UMNO, MCA dan MIC yang mewakili Barisan Nasional (BN). Pakatan Harapan dengan logo HARAPAN iaitu DAP dan Amanah. Manakala PKR menggunakan logo mereka sendiri. Selain itu ialah Bersatu.


DAP bertanding di 14 kerusi majoriti Cina dan kawasan bercampur yakni peratusan kaum Melayu dan Cina dalam julat 40% - 50%.


1. Jementah, M(40%), C(51%), I(18%)

2. Bekok, M(29%), C(50%), I(18%)

3. Tangkak, M(40%), C(50%), I(9%)

4. Bentayan, M(24%), C(74%), I(2%)

5. Yong Peng, M(34%), C(60%), I(7%)

6. Penggaram, M(38%), C(60%), I(2%)

7. Mengkibol, M(26%), C(61%), I(12%)

8. Paloh, M(47%), C(37%), I(15%)

9. Johor Jaya, M(43%), C(47%), I(7%)

10. Stulang, M(40%), C(44%), I(5%)

11. Perling, M(44%), C(44%), I(11%)

12. Skudai, M(23%), C(64%), I(12%)

13. Senai, M(26%), C(62%), I(11%)

14. Pekan Nenas, M(54%), C(45%)


DAP berkemungkinan besar akan hanya memenangi 8 kerusi iaitu Jementah, Bekok, Bentayan, Yong Peng, Penggaram, Skudai dan Senai dengan selesa. Tiga kerusi yang berada dalam senarai 50-50 ialah Tangkak, Johor Jaya dan Stulang. Paloh dan Pekan Nenas dijangka akan dirampas oleh MCA.


Perling adalah salah satu kawasan hangat di mana DAP mempertaruhkan pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tung. Namun melihatkan kawasan ini adalah seimbang antara pengundi Melayu dan Cina dengan 44% dan Perling adalah di bawah parlimen Pulai yang diterajui oleh Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Muhammad. Kekuatan UMNO / BN tidak boleh dipandang sepi.


Semasa di bawah Liew Chin Tung, DAP Johor mengalami perpecahan yang menyaksikan team A dan team B yang saling tidak berkompromi dan menyebabkan Liew Chin Tung seolah-olah bersendirian.


Di samping itu isu Tony Pua yang meminta Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Foon Yew untuk meletak jawatan gara-gara menjemput Bossku melawat sekolah menengah tersebut bagi cawangan Masai telah menimbul kemarahan segelintir masyarakat Cina di Johor Bahru terhadap Tony Pua.


Sedangkan Tony Pua, ahli parlimen Damansara itu tidakpun mengambil berat isu pendidikan Cina tetapi Bossku semasa berjawatan sebagai Perdana Menteri telah meluluskan pembinaan dua cawangan sekolah tersebut. Masyarakat Cina di sini menghargai jasa-jasa Bossku.


Tidak mustahil Liew Chin Tung akan kalah di Perling di tangan calon baru dari wanita MCA yang merupakan anak tempatan dan anak kepada seorang verteran MCA bahagian Pulai. Sebaliknya Liew Chin Tung adalah seorang kelana yang berhijrah dari beberapa tempat.


Amanah bertanding di 18 kerusi iaitu Kemelah, Bukit Pasir, Serom, Simpang Jeram, Maharani, Parit Yaani, Senggaram, Mahkota, Kahang, Endau, Panti, Sedili, Penawar, Tanjung Surat, Permas, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang 


Timbalan presiden Amanah, Salahuddin Ayud dijangka akan mengekalkan kerusinya di Simpang Jeram. Selain itu Amanah dijangka menang di Kemelah dan Kota Iskandar. Dirasakan inilah 3 kerusi yang akan dimenangi oleh Amanah.


Dalam PRN Melaka, PKR langsung tidak menang walau satu kerusipun. Adakah nasib yang sama akan melanda PKR di Johor pula. Disebabkan itulah maka PKR tidak lagi menggunakan logo HARAPAN sebaliknya menggunakan logo PKR sendiri dengan alasan para pengundi dan penyokongnya lebih selesa dengan penggunaan logo sendiri.


Dr. Maszlee dijangka akan memenangi kerusi layang-layang dan beliau merupakan harapan PKR untuk mengubah nasib buruk PRN Melaka tidak berjangkit ke Johor. PKR mempunyai peluang 50-50 di Tiram, Bukit Batu dan Larkin.


Dengan itu kedudukan PH dijangka akan memenangi antara 12 -16 kerusi sahaja. Oleh itu PH tidak mampu untuk membentuk kerajaan Johor yang baru.


Dengan itu berapakan anggarapan yang akan dimenangi oleh BN?


Setelah ditolak 12 – 16 kerusi yang bakal dimenangi oleh PH maka bakinya antara 40 – 44 kerusi akan dikongsi oleh BN dan Bersatu.  


Kerusi manakah yang akan dimenangi oleh Bersatu?


Diyakini Dr, Sahruddin akan mengekalkan kerusi Bukit Kepong namun Bukit Pasir dijangka terlepas kepada UMNO / BN. Begitu juga Gambir yang dahulunya adalah DUN di mana pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mewakilinya akan terlepas ke BN.


Paling tinggi pun Bersatu akan menang dalam 2 atau 3 kerusi lagi. Bermakna Perikatan Nasional hanya mampu untuk mendapat paling tinggi 4 kerusi.


Dengan itu selebihnya akan dimenangi oleh Barisan Nasional sekitar 40 kerusi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.