Ketika Ismail Sabri menjadi Ketua Pembangkang di parlimen selepas UMNO BN kalah teruk di pilihanraya umum ke 14, beliau berjaya menyatukan UMNO dan PAS serta komponen Barisan Nasional yang lain. Gabungan tersebut berjaya ‘takutkan’ kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir samada di dewan parlimen dan juga melalui beberapa siri pilihanraya kecil.
Perancangan Ismail Sabri bersama kepimpinan UMNO BN dan juga PAS ketika itu telah memberi bayangan bahawa UMNO BN dan PAS mampu bangkit kembali. Maka terbentuklah gabungan baharu parti yang berasaskan Islam, Melayu dan Bumiputra yang diberi nama Maufakat Nasional.
Terdahulu umum mengetahui bahawa faktor kekalahan UMNO BN dan PAS adalah kerana wujudnya PPBM yang diasaskan oleh Mahathir dan Muhyiddin sebelum pilihanraya ke 14. PPBM bersama PKR, DAP, Amanah menubuhkan Pakatan Harapan yang akhirnya berjaya memecahkan undi Melayu dan Bumiputra hasil peranan besar PPBM.
Namun kejayaan Pakatan Harapan sendiri tidak bertahan lama apabila Mahathir gagal mengawal DAP yang ketika itu dilihat cuba menguasai kerajaan Pakatan Harapan sepenuhnya. Ketika inilah Muhyiddin memainkan peranan utama menjatuhkan kerajaan yang mereka bina sendiri melalui gerakan ‘Langkah Sheraton’ sehingga memaksa Mahathir meletakkan jawatan.
Muhyiddin naik sebagai Perdana Menteri menggantikan Mahathir dan beliau tidak menunggu lama untuk hancurkan hubungan antara UMNO dan PAS yang berakhir dengan terkuburnya Maufakat Nasional.
Nampak jelas bagaimana jahatnya muslihat Muhyiddin selepas mengambil alih PPBM. Mahathir dipecat dari partinya sendiri dan PAS tiba-tiba terikut dengan janji manis Muhyiddin. Strategi Muhyiddin tidak terhenti di situ sahaja. Ramai juga pemimpin UMNO terutamanya ahli parlimen yang lari tinggalkan UMNO dan menyertai PPBM dengan diberikan kedudukan di dalam kerajaan Muhyiddin.
Muhyiddin menggunakan sepenuhnya kuasa untuk menyekat kebangkitan pengaruh sokongan rakyat terhadap Maufakat Nasional yang dilihat buat julung kalinya bakal membentuk kerajaan Melayu-Islam dan Bumiputra dengan sokongan MCA dan MIC serta parti politik dari Sarawak dan Sabah.
Akhirnya Muhyiddin juga gagal dan tumbang sebelum berjaya mengawal sepenuhnya politik negara dengan cara pecah dan perintah. Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan kerana hilang sokongan majoriti ahli parlimen dan Ismail Sabri menggantikan tempat beliau.
Dengan gaya pengasingan antara kerajaan campuran dan parti yang beliau wakili, Ismail berjaya menstabilkan negara dan ekonomi rakyat di waktu yang cukup singkat. Rakyat mula menyakini cara pentadbiran Ismail Sabri dari parti UMNO BN dan sokongan tersebut boleh dilihat melalui keputusan beberapa siri pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri.
Kini UMNO BN perlu melakukan tindakan drastik apabila sekali lagi Muhyiddin mulakan langkah untuk menggabungkan kembali parti anti UMNO BN bagi mengadapi pilihanraya umum ke 15. Adakah UMNO BN mampu berdepan dengan ‘pakatan anti UMNO BN’ sekali lagi kerana formula penubuhan Pakatan Harapan berjaya mengalahkan UMNO BN di pilihanraya umum ke 14.
UMNO BN harus ada rakan strategik. Agenda asal menggabungkan parti-parti yang bertonggakkan Melayu-Islam dan Bumiputra perlu dijayakan semula seperti mana ketika Ismail Sabri menjadi Ketua Pembangkang.
Pemimpin tertinggi UMNO BN perlu membuka ruang kepada Pas, Warisan atau mana-mana parti lain sekiranya mereka berminat untuk menyertai gabungan maufakat ini. Pemimpin UMNO BN kena berjiwa besar untuk duduk dan berunding demi kepentingan rakyat dan negara yang sememangnya sudah menerima corak pentadbiran Ismail Sabri.
Inilah masanya untuk menguburkan parti PPBM, Pejuang dan Pakatan Harapan yang berjuang hanya untuk berkuasa bukannya demi rakyat dan negara. Parti parasit yang menghimpunkan wakil rakyat ‘katak’ wajib ditolak.
Kalau dahulu Ismail Sabri sebagai Ketua Pembangkang di parlimen berjaya menyakinkan parti lain untuk bersama UMNO BN, maka pada hari ini di ketika beliau sebagai Perdana Menteri yang dihormati kawan dan disegani lawan adalah tidak mustahil beliau mampu merangka strategi baharu bagi merealisasikan impian yang tertangguh sebelum ini untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang terbaik untuk negara dan rakyat merangkumi gabungan Muafakat Melayu Bumiputera bersama rakan lain yg mewakili kepelbagaian kaum seperti MCA dan MIC kecuali PPBM.
Sesungguhnya itulah pengharapan rakyat yang sebenarnya.