ISU harga ayam naik dan kekurangan bekalan yang didalangi kartel memaksa kerajaan mengambil langkah drastik bagi menangani perkara ini. Bermula 1 Jun, eksport 3.6 juta ayam sebulan akan dihentikan.
Ini adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan Ismail Sabri dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu. Perdana Menteri menegaskan, tindakan terbabit diputuskan mesyuarat Kabinet yang akan berkuat kuasa hingga harga dan pengeluaran ayam tempatan, kembali stabil dengan memberi keutamaan untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini.
Lima langkah atasi isu harga, bekalan ayam
i. Menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini hingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil (Keutamaan Kerajaan adalah Rakyat sendiri)
ii. Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi
iii. Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan
iv. Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam
v. Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam
Menurut Ismail Sabri, selain menghentikan eksport ayam terbabit, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi kerajaan yang lain.
Tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran tidak boleh diterima.
Mesyuarat Kabinet yang lazimnya diadakan pada Rabu setiap minggu, dipercepatkan kepada hari Isnin, bagi membincangkan isu membabitkan kos sara hidup yang dijangka meningkat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diarah mengemukakan pelan mengatasi isu ayam, peningkatan harga barang dan kos sara hidup.
Pemansuhan permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan berkuat kuasa minggu lalu, bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.
Selain daripada itu juga, kerajaan akan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.
Proses tuntutan subsidi oleh pengeluar juga akan dipermudahkan. Bagaimanapun, kerajaan dapati hanya RM50 juta subsidi sudah dibayar kepada penternak, yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.
Beberapa syarikat besar pengeluar ayam pula tidak berminat memohon subsidi disediakan itu, sebaliknya mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran. Ini dilihat sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab memandangkan kerajaan telah menetapkan bahawa ayam adalah barangan kawalan.
Ketika ini, kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta mengikut Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.
Bagi memastikan proses mengawal harga ayam ini berjalan dengan lancar, Peguam Negara juga dipanggil menghadiri mesyuarat bagi menasihatkan Kabinet mengenai penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) terhadap sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.
Tindakan boleh diambil mengikut akta berkenaan dan lesen mereka yang terbabit dengan perbuatan itu juga boleh dibatalkan serta merta.
Kerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
Mengikut akta itu, penalti bagi individu adalah denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala perbadanan dan syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta.
Desas-desus bertiup kencang bahawa kartel yang terlibat dalam krisis harga dan bekalan ayam ini didalangi parti politik chauvinist yang mahu kerajaan Ismail Sabri gagal mengawal isu ayam. Semoga usaha beliau menangani isu kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan di pasaran berjaya secepat mungkin. Keluarga Malaysia sememangnya akan sentiasa bertungkus lumus menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan semua.