LONDON: Owen Hargreaves berkata dia hairan bagaimana Son Heung-min masih berada di Tottenham dan tidak bermain untuk pasukan seperti Real Madrid, Barcelona atau Manchester United.
Bekas pemain tengah England itu menganggap Heung-min mengharungi musim luar biasa yang menyaksikannya berkongsi Kasut Emas dengan peledak Liverpool Mohamed Salah.
Heung-min meledak dua gol ketika perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Norwich, sekali gus menjadi pemain Asia pertama menjadi penjaring terbanyak di Liga Perdana Inggeris.
"Son mengharungi musim luar biasa. Harry Kane juga lain dari yang lain. Tetapi Son, ia penamat yang hebat (gol keduanya menentang Norwich). Hairan bagaimana dia masih di sini.
"Saya terkejut dia tidak bermain untuk Real Madrid, Barcelona atau Manchester United. Dia adalah mesin gol," kata Hargreaves.
Kane sebelum ini dikatakan mahu meninggalkan Spurs kerana ingin beraksi di pentas lebih tinggi. Kini dia dan Heung-min berpeluang membuktikan kemampuannya apabila mereka layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Dengan Antonio Conte sebagai pengendali, Spurs berpeluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan mereka namun ia terpulang kepada pengerusi kelab Daniel Levy untuk merealisasikan impian itu. - AGENSI