DALAM sidang media selepas perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di Kuala Lumpur hari ini, Perdana Menteri Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mempercepatkan mesyuarat Kabinet mingguan kepada Isnin (esok) yang mana kebiasaannya pada setiap hari rabu bagi membincangkan mengenai kos sara hidup, peningkatan harga serta masalah bekalan barangan.
Pada mesyuarat kali ini juga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga diminta membentangkan mekanisme bagi menghadapi dan mengatasi isu-isu berkenaan.
“Esok saya panggil mesyuarat Kabinet untuk melihat khususnya dari segi bagaimana kita hendak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini. Dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkan.
“Begitu juga dengan penawaran makanan termasuk ayam, Kementerian Pertanian perlu bentang dan umumkan (mengenai) AP (Permit Kelulusan) yang dihapuskan.
"Dan saya melihat, mungkin AP-AP lain pun akan dikaji, sama ada kita akan hapuskan atau tidak. Banyak lagi AP lain yang kita akan tengok, bukan setakat makanan sahaja.
"Kita harap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan tekanan dari segi pengurangan bekalan barangan," katanya.
Ismail Sabri berkata, sekiranya lebih banyak pihak yang terlibat dalam perbincangan mengenai masalah tersebut, ada kemungkinan harga barangan boleh dikurangkan.
"Tetapi, kita tunggu keputusannya. Esok, semua kementerian ini akan membentangkan apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang.
“Sebab, kalau perang berlarutan, kesannya adalah jangka panjang. Dan kita akan tengok secara lebih lanjut,” katanya, merujuk kepada peperangan antara Rusia dan Ukraine.