PARIS: Kylan Mbappe mengesahkan yang dia ada berbincang dengan Liverpool berkenaan perpindahan ke Anfield.
Penyerang Perancis itu menamatkan spekulasi masa depannya dengan mengumumkan yang dia sudah menandatangani kontrak baharu bersama Paris Saint-Germain.
Pemain 23 tahun mencetus kemarahan Real Madrid yang begitu hampir untuk mendapatkannya selepas tamat saingan musim ini.
Selepas mengesahkan dia akan kekal di Paris, Mbappe tampil mendedahkan yang selain Real Madrid, dia turut berunding dengan Liverpool.
"Bukan hanya Real Madrid dan PSG - saya juga berunding untuk menyertai Jurgen Klopp di Liverpool. Saya berbincang dengan Liverpool kerana ia adalah kelab kegemaran ibu saya.
"Ibu saya sayangkan Liverpool. Saya tidak tahu mengapa, anda perlu tanya dia. Ia kelab yang bagus dan kami berjumpa lima tahun lalu ketika di Monaco. Ia kelab yang besar," kata Mbappe.
Klopp awal bulan ini ketika ditanya sama ada dia berminat mendapatkan Mbappe, berkata: "Sudah tentu kami minat mendapatkannya, kami tidak buta!". - AGENSI