Mengkritik pemimpin bukan suatu yang pelik dan jelik. Cuma apabila seorang yang kalah apabila bertanding di kawasannya sendiri dan kawasan yang dianggap kubu kuat partinyalah merupakan sesuatu yang perlu dipersoalkan.
Alasan ‘tsunami’ isu kerana kalah di pilihanraya umum ke 14 bukan suatu yang boleh diterima kerana ramai lagi yang menang selesa dan diterima oleh rakyat di kawasan masing-masing.
Nur Jazlan sepatutnya melihat ke cermin. Kenapa beliau kalah dan rakan seperjuangan yang mewakili UMNO BN masih boleh menang selesa?
Bagaikan askar siber upahan, Nur Jazlan menyerang YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri kononnya perdana menteri yang lemah.
Pertama, Nur Jazlan lupa bahawa kerajaan sekarang adalah kerajaan yang pertama kalinya wujud di Malaysia selepas pakatan harapan yang menang pada pilihanraya umum ke 14 meletakkan jawatan tanpa sebab munasabah.
Sebagai kerajaan campuran, PM Ismail Sabri yang mengambil alih jawatan daripada Muhyiddin Yassin berani bersemuka dengan pemimpin parti pembangkang dan mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan meletakkan kepentingan rakyat dan kestabilan negara.
Hasil keberanian mengadakan kesepakatan tersebut maka rakyat menyaksikan bagaimana setiap usul yang dibawa ke parlimen mendapat sokongan lebih 2/3 ahli dewan parlimen bahkan mendapat juga sokongan sebulat suara. Keputusan sebegini jarang berlaku di zaman negara diperintah oleh kerajaan yang partinya memenangi pilihanraya.
Malah PM Ismail Sabri mampu meluluskan MA63 yang telah sekian lama dituntut oleh Sabah dan Sarawak dan ianya adalah satu sejarah baharu bagi Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan PM Ismail Sabri.
PM Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri dari UMNO BN yang pertama memerintah negara dengan pelbagai parti politik termasuk yang selama ini dilihat sebagai ‘musuh’ UMNO. Walaupun kerusi parlimen UMNO BN hanya berjumlah 37 kerusi namun majoriti ahli parlimen dari pelbagai parti memilih dan menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.
Kenapa bukan Anwar atau Zahid atau Mohammad Hassan atau pun Hadi Awang dari PAS? Adakah Nur Jazlan melihat pemilihan dan sokongan terhadap Ismail Sabri bagi jawatan perdana menteri adalah kerana satu kelemahan beliau atau kekuatan dan keberanian Ismail Sabri?
Mungkin Nur Jazlan takut untuk mendedahkan bagaimana Sabah dan Sarawak menolak sekiranya nama Zahid dicalonkan. Manakala PAS dan PPBM pula tidak menyokong sekiranya nama Zahid dan Najib sebagai calon perdana menteri ketika itu.
Hakikat yang wajib diterima oleh Nur Jazlan sebagai fakta adalah hanya nama Dato Seri Ismail Sabri sahaja yang dipersetujui oleh majoriti ahli parlimen ketika itu.
Jagalah kawasan dan rakyat sendiri sebelum menyerang sesama sendiri.