SAMA ADA benar atau tidak, nama bekas Perdana Menteri Tun Mahathir terkait sebagai pemimpin nombor satu negara yang mencampuri urusan kehakiman negara.
Bukan setakat terkenal didakwa berada di belakang beberapa kes yang ‘dipilihnya’ malah turut dituduh mengatur kedudukan hakim bagi kes-kes tertentu terutama bagi lawan politiknya. Keadaan ini menyebabkan nama baik institusi kehakiman negara agak teruk calarnya.
Kes yang menjadi tumpuan di zaman Mahathir bagi dalam dan luar negara adalah kes Najib Razak dan Zahid Hamidi. Kedua pendakwaan kes tersebut dikatakan adalah kes berprofail tinggi dan mempunyai unsur konspirasi yang diatur tergesa-gesa kerana ‘perang politik’ berkepentingan peribadi. Imej institusi kehakiman dipersoalkan dan ini tidak baik bagi penilaian pelabur luar seolah keadaan politik Malaysia tidak stabil.
Apabila Dato Seri Ismail Sabri mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau yang berlatar belakang perundangan menunjukkan betapa pentingnya perkara asas bagi negara ini iaitu pengasingan kuasa; Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman dilaksanakan.
Fungsi pengasingan kuasa ini perlu dipraktikkan supaya rakyat dapat diadili sepenuhnya dan menghindari rakyat dari dizalimi. PM Ismail Sabri dilihat berjaya menaikkan semula imej negara agar tidak dilihat sebagai sebuah negara yang menganiaya rakyat. Pelabur luar juga turut yakin dan mula menaruh kepercayaan menjadikan negara sebagai sebuah destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.
Malangnya ‘kartel pencacai politik’ cuba memutar belitkan isu kes pendakwaan Najib dan Zahid dengan menjadikannya bahan untuk melaga-lagakan kepimpinan UMNO BN. Kartel pencacai cuba menghasut ahli UMNO dengan memutar belitkan isu tersebut untuk mengheret PM Ismail Sabri supaya campurtangan di kedua kes itu.
Usaha kartel pencacai politik yang berkepentingan peribadi gagal dan menemui jalan buntu kerana bukan sahaja suara sumbang desakan mereka tidak dilayan oleh YAB Perdana Menteri malah Zahid dan Najib juga turut menegaskan agar kes yang dihadapi oleh mereka diadili tanpa campurtangan mana-mana pihak. Kedua pemimpin UMNO BN tersebut ingin membersihkan nama mereka melalui proses penghakiman yang seadil dan selayaknya seperti rakyat negara ini yang lain.
Percayalah kewujudan kartel pencacai politik bukan sahaja cuba merosakkan segala sistem kerajaan yang ada tetapi juga fokus utama mereka menghancurkan keutuhan UMNO dari dalam.
Usaha menghasut dengan menggunakan isu ‘kuasa pembubaran tarikh pilihanraya di tangan Perdana Menteri’ tidak akan terus terhenti begitu sahaja walaupun keputusan rasmi bahawa UMNO menyerahkan kepada ‘Top 5’.
Keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan mandat daripada perwakilan UMNO seluruh Malaysia di Persidangan Agung Tahunan UMNO dan Persidangan Khas Perwakilan UMNO jelas memberi kuasa mutlak kepada ‘Top 5’ untuk berbincang dan menetapkan tarikh pembubaran parlimen serta mempersembahkan kepada Yang di Pertuan Agong bagi memperkenankan pembubaran parlimen.
Kartel pencacai politik tidak akan berdiam diri, bagi mereka Top 5 mesti memperbincangkan secara umum tarikh tersebut. Kegilaan kumpulan pendesak ini hanya untuk memuaskan hati pembiaya dana kehidupan mereka sahaja. Mereka akan berjaya sekiranya ‘Top 5’ menari mengikut irama mereka.