Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya ada menjelaskan bahawa beliau letak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020 kerana sudah hilang majoriti sokongan dalam Dewan Rakyat.
Dalam tulisannya dulu mengatakan tidak benar sebenarnya beliau secara tiba-tiba hendak letak jawatan.
Ada tanda tanya sebenarnya dalam peristiwa Dr Mahathir meletakkan jawatan melalui satu surat yang dihantar beliau kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1 tengah hari, tarikh berkenaan.
Adakah benar Mahathir letak jawatan kerana hilang sokongan? Adakah sebenarnya Mahathir malas mahu jadi Perdana Menteri kerana banyak kerja perlu dilakukan dan pada masa sama memerah otak mahu mencari penyelesaian untuk mengatasi pandemik COVID-19 pada masa itu yang mula menular.
Dr Mahathir sejak dulu dikenali akan bertindak pantas jika ada halangan untuk beliau melakukan sesuatu. Ini terbukti semasa beliau jadi Perdana Menteri dalam tempoh dari 1981 hingga 2003 masa dulu, beliau sanggup menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk memastikan musuh politiknya diam sebelum memulakan sesuatu langkah.
Beliau membuat arahan untuk Ahli Parlimen yang menjadi musuhnya ditahan di bawah ISA supaya tidak menggangu apa yang mahu dilakukannya di dalam Dewan Rakyat.
Ketika Dr Mahathir tidak menyukai Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri beliau pantas bersekongkol dengan PKR dan DAP semata-mata mahu menjatuhkan Najib.
Pada 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya sudah menang PRU14, Mahathir sudah boleh mentadbir negara dengan gayanya yang diktator dan melakukan apa yang mahu dilakukannya. Dek kerana COVID-19 yang sudah menular, Mahathir berasa apa yang perlu dilakukan terganggu lantas terus meletakkan jawatan.
Sebagai seorang yang berkelulusan perubatan sudah pasti Dr Mahathir tahu apakah kesan yang akan dibawa oleh COVID-19 sejenis penyakit bawaan virus yang merupakan penyakit dengan gejala radang pernafasan kepada negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi sudah pasti tahu tidak lama selepas itu ribuan rakyat akan dijangkiti dan kematian akan berlaku dengan banyak maka perancangan Mahathir untuk terus menghancurkan UMNO akan terbantut.
Walaupun sempat berkuasa dan mentadbir selama 22 bulan, ada juga beberapa aset negara sempat dijarah dan dijual oleh PH.
Memetik artikel dari Umno Online, data menunjukkan selama 500 hari PH berkuasa, sebanyak RM30 bilion aset negara telah dijual oleh mereka kepada pihak asing. Secara purata bermakna PH menjual aset negara bernilai RM60 juta setiap hari bersaman RM2.5 juta aset terjual setiap jam.
Sudahlah dijual, ia tidak pula digantikan dengan pembelian aset strategik yang boleh membawa lebih keuntungan kepada negara.
Boleh dikatakan sebenarnya COVID-19 sebagai penyelamat kepada rakyat daripada terus dijarah oleh Mahathir.
Selepas itu, Mahathir mengawal dan ambil tahu perkara yang berlaku di dalam negara melalui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga dulu bekas pemimpin dalam PH.
Boleh dikatakan, Mahathir letak jawatan dulu bukan kerana hilang sokongan tapi kerana malas mahu memikirkan perkara remeh seperti strategi dan jalan penyelesaian negara untuk atasi pandemik COVID-19 pada masa itu.