WATAK SIKITOL DALAM BN BOLEH MENGHANCURKAN PARTI - WKI


Konvensyen Barisan Nasional(BN) berlangsung dengan jaya dan bermakna. Pelbagai komentar dan pandangan dari pihak-pihak yang mengikuti rapat akan resolusi setiap kali konvensyen menutup tirai.

Bagi saya ini merupakan suara sebenar BN dimana ia mewakili semua komponen dalam BN mengutarakan pandangan dan pengamatan mereka. Segala apa yang berlaku dalam konvensyen itu boleh dilihat dari sudut pelbagai. Jika kita ingin melihat ianya negatif maka pasti komen-komen negatif akan dibawa sebagai naratif sehingga menimbulkan suara-suara sumbang pendesak dari luar yang tidak memiliki apa-apa kapasiti dan lokus standi untuk bercakap mewakili BN.

Jika kita mahu melihat ianya dari sudut positif pula kita boleh melihat ianya satu kekuatan yang ada pada BN iaitu kuasa pemutus untuk tarikh pilihanraya ditetapkan dan dicadangkan kepada YDPA. Apa jua drama dan tayangan di atas pentas konvensyen yang kita lihat pada 1 Jun 2022 tempoh hari boleh kita anggapkan ianya sebagai senjata yang bakal memberikan kelebihan kepada BN.

Walau apa yang berlaku di atas pentas ketika itu,ianya bukan pertembungan ideologi tetapi lebih menjurus kepada tanggungjawab yang harus dipikul oleh barisan kepimpinan BN.Mereka mempunyai tugas yang berbeza.

Tok Mat Hassan lebih kepada mengingatkan jentera agar jangan leka dan memberikan teguran akan kesilapan yang tidak harus dilakukan jentera BN untuk memastikan kemenangan BN. 

YAB PM Tok Mail pula lebih kepada berkongsi akan cabaran kerajaan pimpinan beliau yang harus dilakukan demi memastikan rakyat tidak terkesan dari krisis pasca pandemik yang melibatkan seluruh negara di dunia. 

Presiden DS Zahid pula dilihat lebih kepada menyatakan kesediaan jentera menghadapi PRU15 dan membangkitkan semangat kemenangan BN untuk diterjemahkan dalam bentuk gerakkerja apabila mengumumkan BN akan mula turun ke negeri-negeri dalam sesi mempersiapkan jentera di peringkat akar umbi.

Apakah kita lihat DS Zahid mendesak PM? Ya, ia merupakan bentuk desakan tetapi harus difahami apabila DS Zahid juga berseloroh terus kepada PM akan beberapa perkara yang harus didahulu sebelum pru dilakukan termasuk soal dana pilihanraya. Sebelum itu juga Presiden juga berseloroh kepada DS Hishamuddin akan perkara yang sama iaitu membiayai pilihanraya BN sebagai Bendahari.

Itulah kekuatan BN yang boleh kita rumuskan. Ada watak menasihat.Ada watak tenang yang sentiasa meletakkan kemaslahatan rakyat sebagai keutamaan dan ada watak keras seolah mendesak tetapi berlapit dan menghormati akan prerogatif seorang Perdana Menteri disamping m3njadikan itu sebahagian dari strategi yg boleh mengelirukan musuh dan lawan untuk membuat tekaan dan rumusan.

Justeru segala apa jua perjalanan ceritera pentas ketika itu boleh meresahkan lawan BN diluar sana. Tanda tanya bila tarikh PRU15 tetap menjadi senjata yang memberikan kelebihan kepada BN. Tidak perlu ada suara desakan dan suara sumbang yang silap pengamatan dan pemahaman yang akhirnya merugikan BN. Parti yang telah lebih 61 tahun memerintah seperti BN tidak memerlukan suara pendesak dan pencacai dari luar yang hanya mencari makan dari jumlah view dan LIKE di youtube dan tiktok.

Biarkan dilihat seolah bergolak tetapi persepakatan kepimpinan BN berada pada tahap terbaik. Pertemuan 4 mata antara Presiden BN DS Zahid dan YAB PM sejurus selepas konvensyen memberikan isyarat jelas bahawa YAB PM sentiasa meletakkan institusi parti sebagai hairaqi yang harus dihormati. Kedua mereka saling memahami pemisahan kuasa antara kerajaan dan parti. Hanya mereka yang buta akan melihat dari sudut negatif yang akhirnya merugikan BN.

Kepada seluruh pendokong BN yang sejati, mulai hari ini kita semua harus mengenali watak-watak Si Kitol dan Raja Mendeliar yang pernah meranapkan Kerajaan Melayu Melaka. Watak-watak ini masih wujud dalam BN dengan mengaku pendokong BN tetapi sentiasa mewujudkan prasangka antara kepimpinan supaya berterusan berantakan.

Watak Si Kitol ini tidak akan berhenti sehingga mereka melihat akan kehancuran UMNO/BN. Kita perlu mengenali mereka dan jangan sesekali kita mempercayai mereka yang berpewatakan Si Kitol dan Raja Mendeliar Moden ini. Apakah kita amat naif untuk memperjudikan nasib dan masa depan sebuah parti besar BN dengan termakan mainan watak pencacai sebegitu?

Hala tuju BN bukan berada ditangan individu diluar BN tetapi ianya ditentukan dalam institusi mengikut hairaqi dan kedudukan dengan tertib.

WKI

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.