DEMI RAKYAT, DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA, RUU ANTI LOMPAT PARTI PERLU DISEGERAKAN - ISMAIL SABRI

Hari ini saya telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di Dewan Rakyat. 

Ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam mencapai kestabilan politik dan mengelakkan negara daripada terus berdepan dengan krisis politik yang tiada kesudahan.

Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau ‘lompat parti’ kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka. 

Kerajaan juga sentiasa mendengar dan mempertimbangkan pandangan setiap Ahli-Ahli Dewan Rakyat termasuk ahli Jemaah Menteri terhadap keperluan menggubal peruntukan larangan bertukar parti. 

Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili oleh pihak Kerajaan dan Pembangkang turut menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik, antaranya seperti The Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).

Pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

Rang Undang-Undang ini merupakan satu sejarah besar negara dan saya berharap ia  akan mendapat sokongan penuh dan diluluskan sebulat suara dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.