JANGAN ADA ANTARA KITA JADI PEMECAH BELAH DALAM UMNO


Kepimpinan utama UMNO sepatutnya berhati-hati di dalam mengulas sesuatu isu agar tidak disalah ertikan. Sebagai contoh isu ‘perjanjian’ antara Perdana Menteri Dato’ Seri  Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika peralihan jawatan Perdana Menteri.

Dalam surat perjanjian tersebut turut menyatakan beberapa perkara yang mana telah tersebar di media sosial sebelum ini dimana mendapat reaksi kepimpinan UMNO dan parti politik negara.

Beberapa hari lalu Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan bahawa beliau memahami situasi ketika itu dan kesemua isi kandungan perjanjian tersebut dibuat bagi membolehkan sokongan supaya Ismail Sabri boleh membentuk kerajaan sesuai dengan titah perkenan Yang di Pertuan Agong. Maka keseluruhan kepimpinan dan ahli UMNO tidak perlu lagi bertelagah sesama sendiri berkaitan dengan ‘perjanjian’ itu.

Ada butiran yang dibuat merupakan kuasa prerogatif perdana menteri untuk melaksanakannya dan ada klausa yang hanya bersifat cadangan kerana ianya kuasa mutlak YDPA seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri. Jawatan ini tiada di dalam perlembagaan tetapi boleh dilantik sekiranya mendapat perkenan YDPA.

Kepimpinan dan ahli UMNO perlu memahami bahawa bukan mudah untuk wakil UMNO dipilih dan disokong oleh majoriti ahli parlimen dari pelbagai parti untuk menjadi Perdana Menteri.

Ismail Sabri melakar sejarah menjadi satu-satunya calon yang mendapat sokongan majoriti ahli parlimen ketika itu untuk namanya dipersembahkan kepada Yang di Pertuan Agong dan mendapat perkenan baginda sebagai Perdana Menteri ke 9.

UMNO BN seharusnya menjadikan kedudukan Ismail Sabri sebagai satu kelebihan dan bukannya subjek polemik kepentingan politik peribadi.

Cemburu dan hasad dengki bakal merugikan UMNO pada PRU ke 15 kelak.

Namum begitu fokus kepimpinan dan juga ahli UMNO dilihat beralih dari memantapkan persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke 15 kepada isu "perjanjian".

Isu ini bakal memecahbelahkan perpaduan yang terpelihara dalam UMNO selama ini sedangkan PRU-15 bakal berlangsung pada bila-bila masa sahaja lagi.

Kurangkan perbezaan pendapat dan tidak menjadikan permasalahan kecil sebagai isu yang boleh menghalang kepada penyatuan parti. UMNO perlu menggunakan apa juga peluang yang ada demi menarik kembali keyakinan rakyat kepada parti.

Sebarang spekulasi negatif boleh menjejaskan peluang UMNO BN untuk menang di pilihanraya umum tersebut. Pihak musuh, termasuk dari dalam akan berusaha untuk memecah-belahkan parti dengan menggunakan isu-isu  tertentu termasuk melaga-lagakan kepimpinan utama UMNO. Ini memberi kesan yang tidak sihat bagi seluruh peringkat jentera parti.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.