Muhyiddin seperti hilang tumpuan dan gagal menjalankan tugas sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Sepatutnya Muhyiddin berjumpa Perdana Menteri untuk membawa cadangan yang komprehensif bagi membantu kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan bukannya sibuk dengan isu perlantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau perlantikan menteri baharu menggantikan Zuraida.
Hari ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Hadi menteri sedia ada perlu menjalankan tugas masing-masing dan ini bermakna jawatan Timbalan Perdana Menteri tersebut tidak diperlukan buat masa ini.
Kenyataan Hadi jelas menunjukkan perjanjian yang ditandatangani oleh PM Ismail Sabri bukan mendapat persetujuan parti yang berada di dalam Perikatan Nasional oleh itu perjanjian tersebut terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Muhyiddin juga lebih awal melanggar perjanjian kerana telah cuba menjatuhkan Perdana Menteri apabila dengan terang memujuk Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan mereka bagi menumbangkan Perdana Menteri.
Oleh itu PM Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan cadangan dan permintaan Muhyiddin berhubung dengan perlantikan Timbalan Perdana Menteri dan menteri baharu menggantikan Zuraida.
Apa yang perlu sekarang adalah PM Ismail Sabri perlu bersedia membubarkan parlimen jika PPBM menarik diri dari menyokong kerajaan.
Muhyiddin memilih berpolitik atau permasalahan rakyat dan negara?
Perkara utama yang menjadi fokus YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri sekarang adalah membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Pelbagai program dan strategi dirangka dan dilaksanakan dengan kadar segera agar ianya tidak membawa impak buruk kepada rakyat dan negara.
Tindakan pantas PM Ismail Sabri mewujudkan pasukan khas ‘Jihad Inflasi’ yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa menunjukkan perdana menteri komited mengawal selia inflasi agar tidak memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara malah sebelumnya PM Ismail Sabri telah mewujudkan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penubuhan tersebut sejajar dengan negara beralih dari fasa pandemik covid19 kepada fasa endemik.
Rakyat boleh menilai bagaimana respon PM Ismail Sabri terhadap setiap perkara yang boleh memudaratkan rakyat dan negara.
Bagi PM Ismail Sabri ini adalah masa yang penting dan perlunya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan dan semua kepimpinan parti yang turut berada di dalam kerajaan seperti UMNO BN, Perikatan Nasional, GPS dan GRS terus menyokong kerajaan menumpukan strategi menghadapi kenaikan kos sara hidup rakyat dan ekonomi negara.