Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan wujudnya perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.
Beliau sebaliknya berkata, perbincangan mengenainya ada dilakukan namun tiada sebarang kata putus yang dibuat.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Marang berpandangan, tiada keperluan untuk melantik TPM buat masa ini kerana menyelesaikan masalah rakyat adalah perkara yang paling utama.
"Kita masih lagi berpegang kepada awal-awal kita tubuh kerajaan (iaitu) tiada Timbalan Perdana Menteri dan ia masih lagi (begitu).
"Perbincangan memang ada tapi tak ada keputusan kerana kita masih sibuk dengan urusan-urusan rakyat. Tidak ada janji (dengan) PN mengenai pelantikan TPM.