Parti kita UMNO telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan yang mungkin tidak pernah dirasai oleh parti-parti lain. Namun UMNO utuh sehingga kini sebagai sebuah parti yang matang dan meraikan perbezaan pendapat dan pandangan.
Telah terbukti dalam apa jua kesukaran dan kebuntuan pasti kebijaksanaan pucuk pimpinan melalui Biro Politik dan MKT sentiasa mengambil tempat dan mencapai kata putus yang akhirnya diterima dan menjadi pegangan ahli dibawah.
Apakah semangat itu telah hilang hari ini terutama dalam soal mempertahankan sesiapa sahaja kepimpinan kita. Apakah kesatuan dan kekuatan kita telah pudar dari serangan dan permainan persepsi musuh kita diluar sana.
Saya sebagai pendokong parti dalam sayap Puteri UMNO khuatir akan situasi kebelakangan ini. Kita menuju PRU15 yang tidak jauh lagi tetapi hari ini kita bukan berperang dengan musuh sebenar tetapi kita sering dan lebih gemar untuk mencipta ketegangan dalam parti sendiri. Perbezaan pandangan tidak lagi diraikan dengan rasional tetapi dilihat dari sudut persengketaan yang terjemahkan dengan kenyataan dan tohmahan kasar yang memalukan.
Pengasingan kuasa eksekutif dengan legislatif dan judisiari harus dilihat sebagai satu pembaharuan dalam kerajaan baru Keluarga Malaysia selepas kita kalah pada PRU14. Satu imej baharu UMNO untuk diyakinkan kepada generasi baru yang merupakan lebih 60% pengundi yang akan memilih kerajaan dalam pru15 nanti.
Kenapa kita mahu melihat pengasingan kuasa ini sebagai kelemahan Perdana Menteri DS Ismail Sabri walhal ianya diperakui dan diterima oleh rakyat terbanyak sebagai reform yang amat baik kepada imej “Poster Boy” Barisan Nasional yang akan menjadi salah satu kekuatan kempen kita nanti.
Kenapa masih ada suara dan individu yang bukan ahli UMNO pun tetapi bercakap bagi pihak UMNO. Siapa mereka. Dimana seluruh kepimpinan kita dalam mempertahankan “Poster Boy” yang telah diputuskan dalam MKT dan PAU yang lepas? Apakah dengan mencalarkan imej Poster Boy dan kita tetap mengharapkan kemenangan yang selesa?
Teori dan praktikal harus selari dan tidak sesekali boleh bercanggah. Mana mungkin impian kita untuk menang dan menjadi sebuah kerajaan BN yang kuat tetapi saban hari kita sering menyerang sesama sendiri tanpa sedikit pun musuh kita dihalakan peluru kita. Kesemua senjata dan meriam kita halakan kepada sesama kita. Adakah ini formula kemenangan kita?
Sebagai warga dan pendokong parti, saya amat berharap kita rasional dalam merencana dan mengatur gerak jika ingin menang dan mengembalikan sebuah kerajaan Barisan Nasional yang kuat. Hentikan permusuhan dan ketepikan perbezaan seketika untuk memberikan tumpuan kepada kerja memenangkan parti dalam PRU15 nanti.
Tulisan:
Norhaliza Zainal Abidin
Ketua Puteri UMNO Bahagian Jempol