LEMBAGA DISIPLIN NADI KEKUATAN UMNO, JIKA IANYA DIGANGGU MAKA ROSAKLAH UMNO


SEJAK UMNO dilahirkan pelbagai rintangan dan cabaran yang telah ditempuhi sepanjang ianya bergelar sebuah organisasi dan parti politik, banyak yang telah dilalui UMNO sehinggalah ke hari ini.

UMNO mempunyai struktur yang sangat baik dalam mendepani cabaran politik dimana setiap cabang organisasinya memainkan peranan yang penting untuk UMNO terus kekal releven bersaing dengan parti-parti yang ada didalam negara ini.

Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) adalah sebuah badan atau cabang yang penting untuk membawa UMNO terus relevan yang mana perlu menunjukkan ketegasan serta ketelusan di dalam membuat sebarang keputusan penting kerana ianya akan memberi impak kepada imej UMNO keseluruhan.

Ketegasan yang dimaksudkan bukanlah secara sembrono mencampuri urusan pihak yang dilantik khas sebagai badan yang memastikan UMNO kekal sebagai sebuah parti yang berintegriti.

Apabila sesuatu keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang dibuat tentang kesalahan anggota parti sebagai contohnya memecat Lokman Adam dan menggantung keahlian beberapa individu harus dilihat tepat sebagai hukuman kepada tindakan mereka yang sewenangnya menyerang dan memfitnah kepimpinan UMNO kerana akhirnya kesan buruk akan terkait juga dengan UMNO.

Rakyat dan ahli UMNO juga melihat keputusan tersebut sebagai cara bagaimana UMNO menghalang individu dan kelompok tertentu menggunakan parti dan kedudukan di dalam parti untuk kepentingan diri.

Lokman juga telah melakukan kesalahan yang besar dan boleh memberi kesan yang buruk kepada UMNO. Selain kesalahan menyerang Presiden UMNO sehingga dikenakan pemecatan dari parti, beliau kini banyak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ahli parti malah merosakkan nama baik Perdana Menteri yang mana datangnya dari UMNO sendiri.

Jangan sesekali Biro Politik dan MKT membuat kesilapan dalam penilaian. Individu seperti Lokman Adam bukannya jenis makhluk yang meminta maaf apabila sedar akan kesilapannya.

Bayangkan berapa ramai ahli UMNO terpedaya dengan fitnah jahat yang diciptanya ketika menyerang Presiden UMNO malah tindakan tersebut turut mencalarkan imej parti itu sendiri.

Adakah beliau pernah tampil dan berusaha untuk membersihkan najis yang beliau ciptakan? Jawapannya TIDAK.

Malah Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi tidak boleh sama sekali menarik balik keputusan lembaga disiplin yang dibuat terhadap Lokman.

Jika Perdana Menteri menegaskan tidak ada keperluan untuk mengkaji tuntutan PPBM bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri maka Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi khususnya Presiden parti juga tidak perlu untuk mengkaji semula hukuman dan seterusnya menarik balik hukuman yang telah dibuat hanya kerana untuk memenuhi cita-cita Lokman untuk bertanding di dalam UMNO.

UMNO tidak boleh lagi membuat kesilapan berulang kali sebagaimana keputusan melantik Isham Jalil sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO tanpa mempunyai merit sebagai kepimpinan bahagian.

Keputusan tersebut jelas memperlihatkan perbezaan antara keputusan dari UMNO Selangor dan keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Isham Jalil dipecat dari jawatan Ketua Penerangan Negeri dan MKT pula ‘mengambilnya’ dan melantiknya sebagai anggota majlis tertinggi.

Adakah UMNO Malaysia dan Presiden parti mahu menzahirkan bahawa UMNO Selangor telah membuat kesilapan dengan memecat Isham malah memperlihatkan bahawa UMNO pusat dan UMNO Selangor tidak selari di dalam membuat keputusan kepada seluruh akar umbi parti?

Ahli UMNO seluruh negara perlu melontarkan persoalan ini agar kepimpinan tertinggi parti menjelaskan kepada akar umbi apa sebenarnya yang sedang lakukan oleh UMNO hari ini.

Betulkah UMNO inginkan kemenangan di PRU15 jika ini caranya?

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.