Kedudukan Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai "poster boy" Barisan Nasional (BN) dan calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kekal. Pendirian BN berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN berjaya mentadbir Putrajaya.
Oleh itu, tidak timbul soal Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi calon perdana menteri bagi BN. Beliau juga menegaskan perkara yang dimainkan pihak tertentu berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
Segelintir pihak yang cuba melakukan provokasi berkenaan perkara tersebut hanyalah mahu melaga-lagakan semua pihak khususnya komponen dalam BN selain cubaan memecahbelahkan UMNO kerana mereka tiada modal.
Dari awal lagi, Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju mencalonkan Ismail Sabri sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri. Keputusan ini juga mendapat persetujuan kesemua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Kedengaran juga suara sumbang dari kalangan kelompok dalaman parti UMNO yang berkepentingan peribadi cuba melaga-lagakan supaya hubungan sesama kepimpinan tertinggi UMNO BN retak dengan memainkan isu Zahid sebagai Perdana Menteri dan bukannya Ismail Sabri.
Gendang perang sudah berbunyi maka ahli UMNO BN perlu merapatkan saf dan memberi fokus kepada kemenangan pada pilihanraya umum kali ini.
Sebenarnya musuh kepanasan kerana calon Perdana Menteri dari UMNO BN ini lebih bersih maka musuh politik UMNO BN melihat ianya sebagai satu ancaman luarbiasa kepada mereka pada pilihanraya umum kali ini. Bersih tanpa sebarang skandal sosial, tiada kes di mahkamah dan tidak menyalahguna kuasa sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Beliau juga telah berjaya membukti kemampuan meletakkan negara di dalam keadaan paling stabil berbanding dengan Perdana Menteri yang lain selepas pilihanraya umum ke14.