Antara Ismail Sabri, Muhyiddin, Mahathir dan Anwar Ibrahim, semuanya telah diuji sebagai pemimpin walaupun antara empat calon tersebut hanya Anwar Ibrahim sahaja yang belum pernah menjawat jawatan Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim gagal berada di kerusi Perdana Menteri kerana dipecat oleh Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Anwar terlibat melakukan jenayah liwat dan rasuah salah guna kuasa ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan dihukum penjara.
Apabila kerajaan PH menang, Anwar dibebaskan dengan pengampunan di-Raja dan sebagai rakan kongsi kuasa PKR dengan parti PPBM ketika itu, Anwar bersetuju memberi laluan kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri ke 7 dengan bersyarat Mahathir memegang jawatan tersebut hanya sementara. Mungkin Mahathir lebih mengenali Anwar memandangkan Anwar pernah dijadikan Timbalannya selama 16 tahun maka Mahathir enggan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri seperti yang beliau janjikan kepada Anwar.
Sepanjang 22 bulan menjadi Perdana Menteri, Mahathir dilihat banyak menghabiskan masa berpolitik mengukuhkan kedudukannya sendiri.
Ekonomi negara mula menguncup, kadar KDNK mula menurun dengan mendadak dan rakyat mula terbeban dengan kenaikan harga barang.
Yang Mahathir fikir hanyalah bagaimana ingin membalas dendam terhadap musuh politiknya termasuk musuh dalaman Pakatan Harapan sendiri.
Akhirnya Muhyiddin berjaya menjadi Perdana Menteri ke 8 apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ di mana sebahagian besar ahli parlimen Pakatan Harapan dari blok parti PPBM hilang kepercayaan kepada Mahathir. Parti PKR tersingkir dan menjadi pembangkang apabila Muhyiddin membentuk gagasan Perikatan Nasional bersama Pas dengan beliau sendiri menjadi pengerusinya.
Sepanjang 17 bulan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ke-8, beliau menunjukkan kegagalan menguruskan rakyat dan negara terutama ketika negara dilanda pandemik covid19 yang membunuh lebih 30,000 jiwa rakyat ini.
Muhyiddin gagal mengawal pandemik apabila mengambil tindakan mengistiharkan darurat yang terlalu lama. Rakyat ‘terkurung’, gagal di dalam agihan bekalan vaksin kepada rakyat dan ini memberi kesan teramat buruk kepada ekonomi rakyat dan negara.
Dana khas yang berjumlah ratusan bilion dikeluarkan oleh Muhyiddin sehingga kini masih gagal dibentangkan kemana perginya wang negara sebanyak itu dan untuk apa?
Paling ketara penolakan rakyat terhadap Muhyiddin melalui partinya ialah kekalahan PPBM/Perikatan Nasional di tujuh siri pilihanraya kecil dan dua pilihanraya negeri iaitu Melaka dan Johor termasuk pilihanraya di Sabah dan Sarawak.
Malah ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri ke 9 selepas majoriti ahli parlimen hilang kepercayaan kepada Muhyiddin, Ismail Sabri memberi peluang kepada Muhyiddin menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pemulihan Ekonomi Negara namun Muhyiddin masih menunjukkan kegagalan sebagai seorang pemimpin. Ismail Sabri sendiri yang merangka dan menjalankan pelan pemulihan ekonomi negara tanpa menunggu cadangan daripada Muhyiddin. Bagi Ismai Sabri, rakyat dan negara perlu diberi perhatian segera dan bukannya menjadikan kuasa jawatan untuk kepentingan peribadi.
Rakyat boleh dan tidak sukar untuk membuat perbandingan antara yang disebut di atas.
Ismail Sabri telah menunjukkan bukti selama tidak sampai dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri ke-9. Konsep Keluarga Malaysia yang berteraskan ‘tiada siapa yang akan ditinggalkan’ telah dibuktikan melalui pembentangan bajet 2023 yang lalu.
Sebelum itu, sepanjang Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya membawa negara memasuki fasa endamik covid19, berjaya membuka pintu masuk negara untuk pelabur luar menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Pakej pemulihan ekonomi rakyat dan negara mula menampakkan kesan apabila kadar angka KDNK mula menunjukkan kenaikan dan meletakkan Malaysia di tempat pertama berbanding dengan negara Asean yang lain.
Ismail Sabri juga membuktikan beliau adalah Perdana Menteri yang berani dan adil apabila mengajak parti pembangkang bersama menumpukan pemulihan negara dan rakyat. Ini menjadikan negara stabil dari sudut politik bagi memberi laluan kepada pengurusan ekonomi.
Ketika Anwar, Mahathir dan Muhyiddin hampir setiap hari sibuk berpolitik mengukuhkan kuasa masing-masing, Ismail Sabri menunjukkan beliau kekal fokus membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik melalui Keluarga Malaysia.
Bagi PRU ke-15, Ismail Sabri menjadi satu-satunya calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri ke-10 mewakili UMNO BN. Ini adalah demi kesinambungan penyambungan tugas beliau terhadap rakyat dan negara seperti yang dibentangkan pada bajet 2023.